KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah yang tertentu sekiranya keadaan didapati terlalu sesak hingga menyukarkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial dilaksanakan bagi membendung penularan Covid-19.
Pada masa yang sama, PLUS juga memastikan keselamatan pelanggan lebuh raya ketika perjalanan pulang dan kembali semula ke ibu kota sempena perayaan Hari Raya Aidiladha.
“Setelah mengadakan perbincangan bersama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kami telah membuat keputusan untuk melaksanakan langkah ini demi keselamatan semua pelanggan kami terutamanya bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.
”Kami sama sekali tidak boleh berkompromi terhadap keselamatan semua pelanggan dan berharap pelanggan dapat memahami mengapa langkah sedemikian perlu diambil demi keselamatan mereka,” kata Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS, Mohd Yusuf Abd Aziz.
Menurut Yusuf, kawasan rehat yang ditutup sementara akibat terlalu sesak tersebut akan dibuka secepat mungkin setelah pemantauan dan pemeriksaan mendapati ia lebih selesa dan selamat digunakan oleh pelanggan lebuh raya.
“Kami memohon kerjasama semua pelanggan supaya merancang perjalanan dan mengelakkan kawasan rehat yang sesak. Mereka juga dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan awam seperti tandas dan surau yang turut disediakan di plaza tol sebagai alternatif dan masuk semula ke lebuhraya untuk menyambung perjalanan mereka,” tambah beliau.
Pengumuman tentang penutupan sementara kawasan rehat yang berkaitan akan dipaparkan pada papan tanda elektronik yang disediakan di lebuhraya termasuk menerusi Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS dan lain-lain lagi.
PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan akan melonjak kepada 1.7 juta kenderaan pada setiap hari puncak bersempena dengan cuti perayaan Hari Raya Aidiladha ini. – MalaysiaGazette