KUALA LUMPUR – UMNO negeri Sabah telah diberi kuasa autonomi sepenuhnya dalam membuat persiapan dan menentukan calon-calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri Sabah.
Malahan, UMNO Sabah duduk bersama parti-parti komponen, rakan sekutu Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional di Sabah untuk membincangkan persiapan serta penentuan calon-calon berkelayakan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Ta Sri Annuar Musa berkata, sejurus selepas pengumuman dan pengesahan rasmi Istana negeri Sabah berkaitan pembubaran DUN negeri menyusul semalam, BN dan juga Perikatan Nasional membuat persiapan awal bermula serta merta.
Katanya, di peringkat BN, beliau dan juga pengerusi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO serta beberapa orang jawatankuasa pilihanraya parti akan bertemu dan bermesyuarat dengan pada malam Ahad ini mengenai pilihanraya negeri Sabah.
“Pengumuman datang sehari sebelum Aidiladha maka kita sambut Hari Korban (Aidiladha) dulu dan akan memulakan tindakan kami.
“Kita akan bertemu dan bermesyuarat 2 Ogos ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan akan menyusun kaedah kaedah yang sesuai menghadapi PRN Sabah nanti.
“Di sini dengan sukacita saya ingin menegaskan bahawa dari segi UMNO dan BN kita telah memberikan kuasa autonomi kepada UMNO Sabah sepenuhnya dan ibu pejabat UMNO hanya akan membantu.
“Banyak perkara nantinya akan diputuskan oleh UMNO Sabah serta rakan rakan Perikatan Nasional dan parti-parti mesra BN di Sabah iaitu akan dilakukan selepas hari tasyriq,” katanya ketika ditemui selepas solat sunat Aidiladha di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Kampung Sungai Penchala, Damansara pagi tadi.
Ditanya sama ada calon-calon DUN PRN juga akan ditentukan oleh UMNO dan Perikatan Nasional Sabah, Ahli Parlimen Ketereh merangkap Menteri Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan sememangnya Badan Perhubungan UMNO Sabah akan menentukannya.
“Itu akan diputuskn oleh UMNO mengikut kita punya kaedah di bawah autonomi UMNO Sabah akan ditentukan Badan Perhubungan UMNO di Sabah.
“Tetapi oleh kerana ini merupakan PRN yang melibatkan semua kawasan DUN, maka UMNO Sabah juga perlu berbincang dengan rakan-rakan komponen BN dan parti parti dalam Muafakat Nasional termasuk PPBM dan juga parti-parti mesra BN untuk diuruskan proses pelaksanaan dengan baik sekali” tegasnya.-MalaysiaGazette