Home Ekonomi TNB tambah kepentingan dalam Jimah Energy

TNB tambah kepentingan dalam Jimah Energy

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (tiga,Kiri) bersama Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (empat, kanan) ketika menandatangani perjanjian penjualan saham Jimah Energy Ventures Holdings (JEVH) Sdn Bhd., di sini, kelmarin.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memeterai perjanjian untuk mengambil alih kesemua 5.0% saham biasa dalam Jimah energy Ventures Holdings (JEVH) Sdn Bhd dan 5.0% Nota Kelas B dikeluarkan Special Power Vehicles Berhad (SPVB), keseluruhannya bernilai RM80 juta daripada Menteri Besar negeri Sembilan (Pemerbadanan).

Dengan pengambilalihan ini, TNB memperkukuhkan portfolio penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia.

”Pertambahan pegangan dalam Jimah Energy Ventures Holdings Sdn Bhd boleh membawa pulangan positif kepada pendapatan Kumpulan TNB dan akan menambah nilai bagi pihak berkepentingan TNB (stakeholders) dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.

TNB kini memiliki 25 peratus ekuiti, masing-masing dalam saham biasa JEVH dan Nota Kelas B Special Power Vehicle Berhad.

Baki 75 peratus saham dan Nota Kelas B masing-masing dipegang anak-anak
syarikat Edra Power Holdings Sdn Bhd.

JEVH buat masa ini memegang 100 peratus pegangan ekuiti dalam Jimah Energy Ventures Sdn Bhd, sebuah syarikat kegunaan khas diwujudkan untuk pembangunan dan operasi Stesen Janakuasa Arang Batu berkapasiti 2 x 700 MW dengan kontrak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) selama 25 tahun yang akan tamat pada tahun 2033.

Stesen tersebut terletak di Mukim Jimah, Port Dickson dan bersebelahan dengan Stesen Janakuasa Tunku Mukhriz yang berkapasiti 2 x 1000 MW, yang mana TNB mempunyai 70 peratus kepentingan di dalamnya.

Sehingga Tahun Kewangan 2019, kapasiti penjanaan TNB merangkumi 45.66 peratus (6895.37MW) dari arang batu, 33.17 peratus (5009.91MW) dari gas dan 21.17 peratus (3196MW) dari tenaga boleh diperbaharui dan lain-lain. – MalaysiaGazette