Home Ekonomi FBM KLCI dijangka diniagakan antara 1,550-1,617

FBM KLCI dijangka diniagakan antara 1,550-1,617

Bangunan Bursa Malaysia di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR- Petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka berlegar antara paras 1,550 dan 1,617 mata pada minggu depan, dengan kaunter sarung tangan terus menjadi perhatian utama apabila beberapa syarikat sarung tangan akan mengumumkan keputusan suku kedua mereka bermula Ogos.

Justeru itu, Ketua Penyelidikan Malacca Securities Sdn Bhd Loui Low menjangkakan aktiviti membeli saham murah terpilih akan berlaku pada minggu depan.

Bagaimanapun, Low mengingatkan bahawa sentimen pasaran mungkin terjejas susulan perkembangan terbaharu dalam landskap politik negara kerana sebarang keadaan tidak menentu akan memberi kesan kepada prestasi indeks utama.

“Saya fikir keadaan akan lebih jelas pada hujung minggu, kerana sekarang ini situasi masih samar-samar dan banyak keputusan boleh berlaku dalam arena politik. Oleh itu, kami masih menantikan keadaan yang lebih jelas.

“Buat masa ini, kami percaya sebarang keadaan tidak menentu akan menyeret turun KLCI, kita mungkin akan melihat aktiviti membeli saham berharga murah sepanjang minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis berkata parti itu membuat keputusan tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama PAS dan komponen Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN pada Rabu menyatakan hasrat membawa partinya menyertai MN.

Sementara iu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang perlu diadakan dalam masa 60 hari.

Bagi minggu dagangan singkat yang baru berakhir ini, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan kebanyakannya tinggi, ditutup pada 1,611.42, paras tertingginya pada tahun ini.

Kenaikan itu disokong terutamanya daripada saham berkaitan sarung tangan di tengah-tengah peningkatan semula kes baharu COVID-19 di seluruh dunia, tetapi kenaikan itu dihadkan oleh pengumuman lanjutan moratorium yang menjejaskan kebanyakan kaunter berkaitan kewangan.

Bagaimanapun, indeks utama mencatatkan penurunan pada Khamis disebabkan kemelut politik tempatan itu.

Bagi asas Jumaat ke Khamis, indeks utama naik 14.14 mata untuk ditutup kepada 1,603.75 daripada 1,589.61 pada minggu sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 141.75 mata kepada 11,413.93, Indeks FBMT 100 naik 140.02 mata kepada 11,254.07 dan Indeks FBM Emas Shariah meningkat 341.48 mata kepada 13,439.53.

FBM 70 meningkat 341.30 mata kepada 14,495.58 dan Indeks FBM ACE melonjak 636.80 mata kepada 8,534.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 252.13 mata kepada 13,165.51, Indeks Perladangan meningkat 32.48 mata kepada 7,147.51 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.48 mata kepada 141.13.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 45.91 billon unit bernilai RM26.58 bilion daripada 45.32 bilion unit bernilai RM28.93 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 20.61 bilion saham bernilai RM17.78 bilion daripada 53.22 bilion saham bernilai RM28.75 bilion.

Sementara itu jumlah dagangan waran meningkat kepada 3.84 bilion unit bernilai RM1.52 bilion daripada 3.60 bilion unit bernilai RM736.71 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 21.44 bilion saham bernilai RM7.27 bilion berbanding 26.14 bilion unit bernilai RM5.81 bilion.

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha. Dagangan akan disambung pada Isnin. – Bernama