NEW YORK – Bawang merah yang ditanam di California telah dikesan sebagai sumber berpotensi wabak salmonella yang telah menjangkiti lebih daripada 500 orang di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.
Wabak itu telah disahkan muncul di 34 negeri.
Mereka yang paling terjejas termasuk Oregon (71); Utah (61) dan California (49), kata Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA).
Agensi Kesihatan Awam Kanada melaporkan negara itu merekodkan 114 kes salmonella dan sekurang-kurangnya 16 orang telah dimasukkan ke hospital.
Di Amerika Syarikat, 396 disahkan dijangkiti dengan wabak itu dan 59 orang menerima rawatan di hospital, tambah kata FDA.
FDA sudah dapat mengenal pasti syarikat Thomson International, pembekal produk di Bakersfield, California, sebagai sumber bawang merah yang tercemar.
Thomson telaj memanggil semula bawang merah, kuning, putih dan manis yang dihantar sejak 1 Mei kerana risiko pencemaran.
Bawang diedarkan kepada pemborong, restoran dan kedai runcit di seluruh negara dan di Kanada, kata Thomson.
Mereka juga melakukan pengedaran nama TII Premium, El Competitor, Hartley, Onions 52, Imperial Fresh, Utah Onions dan Food Lion.
Pengguna-pengguna disarankan supaya tidak menggunakan sebarang bawang merah atau makanan yang dimasak dengan menggunakan bawang yang dibekalkan oleh Thomson.
Bawang yang tidak diketahui sumbernya juga dinasihatkan dibuang.
Penyakit yang disebut salmonellosis akan menyebabkan individu yang dijangkiti mengalami cirit-birit, demam dan kekejangan perut.
Jika kesan lebih teruk mereka mungkin mengalami demam, sakit kepala atau ruam.
Kanak-kanak, golongan dewasa dan warga emas yang mempunyai sistem imun yang lemah berisiko terkena penyakit yang teruk. – MalaysiaGazette