KUALA LUMPUR – Pas menyokong tindakan kerajaan negeri Pahang yang mewajibkan tulisan Jawi pada papan kenyataan dan premis perniagaan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia adalah satu usaha untuk mengembalikan martabat tulisan Jawi sebagai salah satu teras kebudayaan negara.
Katanya, banyak bangsa di dunia telah kehilangan tulisan, malah budaya dan adat resam mereka juga turut hilang.
“Tindakan itu juga untuk mengukuhkan semula asas pembentukan negara Malaysia yang dibina atas permuafakatan menerima Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan budaya Melayu sebagai teras kebudayaan.
“Sejarah membuktikan perjanjian utama sama ada di era penjajahan atau sebelumnya ditulis dalam tulisan Jawi. Bahkan setiap pengisytiharan Majlis Raja-Raja, surat rasmi Kerajaan dan mata wang juga ditulis dalam tulisan Jawi,” katanya yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, sedikit demi sedikit tulisan Jawi dipinggirkan daripada kehidupan masyarakat hari ini.
Tambahnya, PAS melahirkan kebimbangan itu sejak penyata Khir Johari sekitar 1960-an yang memansuhkan penggunaan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara.
Namun mutakhir ini kata beliau, usaha untuk memperkasakan semula tulisan Jawi adalah tepat sebelum luput dan tidak dipedulikan lagi.
“Mereka yang menentang usaha ini adalah golongan yang lupa daratan dan buta sejarah pembentukan negara.
“PAS turut menyeru agar semua negeri melaksanakan agenda pemerkasaan tulisan Jawi seperti Pahang bermula di papan tanda premis dan jalan,” ujarnya. – MalaysiaGazette