Home Seni Hidup Espira Sri Petaling jalani proses disinfeksi

Espira Sri Petaling jalani proses disinfeksi

Hotel Espira Sri Petaling melakukan proses disinfeksi di semua kawasan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Hotel Espira Sri Petaling (ESP) kini bersedia untuk menerima kunjungan pelanggan bagi tujuan penginapan, mesyuarat, acara rasmi atau menjamu selera di restoran selepas selesai menjalankan operasi disinfeksi secara menyeluruh baru-baru ini.

Operasi itu melibatkan seluruh kawasan seperti 168 buah bilik tetamu, enam buah bilik mesyuarat, lobi hotel, ballroom, restoran Dine Coffee House, surau, pejabat kakitangan dan tandas awam.

Penolong Pengurus Eksekutif ESP, Mohd. Nizamri Md. Yusoff berkata, pihak pengurusan telah melantik syarikat yang bersijil dan berpengalaman untuk melakukan proses disinfeksi bagi membersih dan membasmi kuman di seluruh kawasan dan perimeter hotel.

Jelas beliau, adalah tanggungjawab utama pihak hotel bagi menjaga kesihatan dan keselamatan pelanggan sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Pihak hotel juga melaksanakan proses pembersihan dan disinfeksi sekurang-kurangnya tiga kali sehari terutamanya di tempat-tempat sentuhan tinggi seperti butang lif, tombol pintu, hand railing dan sebagainya selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“ESP turut memastikan pelanggan mematuhi SOP seperti memeriksa suhu badan, merekod data tetamu melalui pengimbasan QR kod dan menyediakan cecair pembasmi kuman di tempat-tempat awam.

“Pada masa sama, para pelanggan dinasihati untuk memakai topeng muka ketika di premis hotel dan menjaga jarak sebelum dan semasa memasuki kawasan hotel,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Espira Sri Petaling dahulunya dikenali sebagai Hotel Sri Petaling.

Mohd. Nizamri menambah, bukan setakat itu, ESP telah memastikan bilik mesyuarat dan ballroom mengikut susunan meja dan kerusi bagi memastikan penjarakan satu meter antara tetamu dan menyediakan packed food semasa waktu rehat.

“Pihak hotel akan memastikan bilik mesyuarat atau ballroom disanitasi dan dibersihkan sebelum, semasa dan selepas program dijalankan selaras dengan SOP kerajaan,” katanya.  – MalaysiaGazette