PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin mendakwa perjanjian antara beliau dan beberapa lagi bekas PKR lain dengan parti tidak ‘mengikat’ untuk tuntutan RM10 juta tersebut.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut optimis, tuntutan daripada Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung itu tidak akan membuahkan hasil.
“Setahu kita, perkara itu tidak mengikat tentang isu tuntutan. Kita akan serahkan kepada peguam untuk menguruskan dan kita yakin benda (tuntutan) ini tidak akan berhasil,” katanya hari ini.
Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Qurban Aidiladha di ibu pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zuraida berkata, pihaknya belum menerima sebarang surat tuntutan daripada PKR.
“Belum lagi, belum terima. Cakap sahaja lebih,” katanya lagi.
Sebelum ini, Chean Chung berkata, mereka yang disenaraikan perlu membayarnya dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal, parti akan mengarahkan peguam untuk meneruskan prosiding bersesuaian bagi mendapatkan pampasan itu.
Berdasarkan tarikh laporan itu, tempoh tujuh hari itu akan berakhir Khamis ini.
Sebelum ini, Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) itu tidak bimbang berdepan dengan surat tuntutan daripada parti itu yang menuntut RM10 juta daripada beliau dan 18 lagi wakil rakyat PKR yang keluar parti.
Zuraida berkata dalam kesnya, beliau dipecat bukan keluar parti.
Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam menganggap saman RM10 juta yang didakwa akan digerakkan PRK terhadapnya sebagai ‘kurang cerdik’.
Menteri Kanan Ekonomi itu berkata tiada sebab untuk beliau menyerahkan wang sebanyak itu kepada parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Untuk apa saya bayar mereka RM10 juta? Lebih baik RM10 juta saya beri kepada rakyat daripada beri kepada parti yang tidak relevan.
“Jika saya ada duit itu, saya akan serah kepada rakyat, saya tak serahkan kepada parti yang sudah rosak seperti PKR,” katanya di Kuala Pilah seperti dilaporkan semalam.
Minggu lalu, Chean Chung dilaporkan berkata, parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada kesemua 19 ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang telah keluar parti, menuntut setiap mereka membayar RM10 juta kepada parti.
Mereka termasuk Zuraida dan bekas Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak.
Chean Chung mendakwa RM10 juta itu adalah jumlah yang dipersetujui untuk dibayar oleh kumpulan terbabit jika mereka berpaling tadah dan menggunakan kerusi yang diwakili bagi kepentingan peribadi serta bertentangan dengan kepentingan parti.
Ahli Parlimen lain yang terlibat ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon; Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju; Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian.
ADUN yang berkenaan pula ialah Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh). – MalaysiaGazette
Dlm islam..antra sifat munafik adalh ‘ tdk menunaikn janji’.