Home Nasional Kes Solar: Saksi dakwa Mahdzir Khalid minta habuan RM250 juta lulus projek

Kes Solar: Saksi dakwa Mahdzir Khalid minta habuan RM250 juta lulus projek

Saksi, Rayyan Radzwill Abdullah ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor berikutan projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid didakwa pernah meminta habuan sebanyak RM250 juta, atau 20 peratus, bagi kelulusan projek solar hibrid untuk sekolah di Sarawak .

Bagaimanapun kata Rayyan Radzwill Abdullah yang merupakan saksi ke-16, setelah rundingan dilakukan, jumlah itu berjaya dikurangkan kepada RM60 juta atau RM1 juta setiap bulan selama lima tahun bermula 2016.

Dakwa rakan perniagaan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd., Saidi Abang Samsudin itu, Mahdzir membuat permintaan tersebut melalui seorang proksi bernama Md Fuad Yassin yang juga dicari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2018 bagi membantu siasatan.

Ketika soal balas dengan peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kadir, Rayyan berkata, bagaimanapun wang sebanyak RM60 juta tidak pernah dibayar oleh Jepak Holdings kepada proksi Mahdzir itu.

Akberdin: Kerana memainkan peranan, adakah benar Mahdzir (menerima) 20 peratus habuan daripada Jepak Holdings sebagai habuan kelulusan projek ini?

Rayyan: Ya benar. Melalui kawan Mahdzir, Md Fuad.

Akberdin: Proksi?

Rayyan: Sahabatnya.

Akberdin: Md Fuad Yassin? Betul?

Rayyan: Benar.

Akberdin: Jadinya, jumlah 20 peratus ini sangat besar dan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan mahu ianya dikurangkan kepada RM60 juta bagi lima tahun? Jadinya RM1 juta setiap bulan. Benar?

Rayyan: Ya, benar.

Akberdin: Benarkah Md Fuad ini masih lagi buruan SPRM sejak 2018?

Rayyan: Benar.

Akberdin: Adakah SPRM pernah menyiasat Saidi dan kamu berhubung wang yang telah didakwa di minta oleh Mahdzir?

Rayyan: Ya, ada.

Sebelum ini, Mahdzir pernah menafikan pernah memberi lampu hijau kepada projek itu sebagai pertukaran kepada pembayaran RM1 juta setiap bulan selama lima tahun.

Perbicaraan akan bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Kes tersebut melibatkan pembekalan dan pemasangan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak yang membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Rosmah didakwa telah menerima suapan rasuah daripada Saidi menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kes projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek berkenaan.

Namun pada 8 Januari lepas mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan. – MalaysiaGazette