Home Nasional Saksi perbicaraan kes Rosmah Mansor hampir menangis

Saksi perbicaraan kes Rosmah Mansor hampir menangis

Rayyan Radzwill Abdullah

KUALA LUMPUR – Saksi ke-16 perbicaraan kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion melibatkan bekas Datin Seri Rosmah Mansor hampir menangis hari ini.

Perkataan yang keluar daripada mulut Rayyan Radzwill Abdullah tersekat-sekat untuk seketika ketika memberi keterangan balas kepada peguam bela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Ini kerana ketika soal balas itu, dalam nada beremosi, Rayyan mendakwa beliau dari awal lagi tidak mahu rakan perniagaanya, Saidi Abang Samsudin untuk membiasakan diri memberi rasuah kepada ahli politik bagi mendapatkan kelulusan projek itu.

Kata Rayyan, apa sahaja yang dinasihatinya tidak didengari Saidi, sebaliknya memberitahu dirinya bahawa inilah cara untuk mendapatkan projek bernilai berbilion ringgit itu.

“Saya datang dari keluarga cukup susah, setinggan. Kadang kala tiada bekalan elektrik di rumah saya.

“Daripada beri wang kepada ahli politik ini, baik lagi gunakan wang tersebut untuk orang-orang di kawasan susah,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Menurut Rayyan, ada ketika dia dan Saidi berselisih faham kerana perkara itu.

“Saya yang buat semua kerja, semua kerja teknikal termasuk pembentangan sebenarnya dibuat oleh saya. Dari awal saya tidak setuju duit-duit ini disalur kepada ahli politik tapi jawapan Saidi hanyalah inilah caranya,” dakwa Rayyan.

Ketika memberikan keterangan, Rayyan mendedahkan bagaimana bekas Menteri Pendidikan, Datuk Mahdzhir Khalid meminta habuan sehingga RM60 juta kerana mendapatkan kelulusan bagi projek solar hibrid itu.

Bagaimanapun wang itu tidak dibayar dan Rayyan memberitahu Saidi membayar RM50,000 sebagai penghinapan hotel para perwakilan yang datang pada persidangan Agung UMNO dari kawasan Mahdzir.

Selain itu, sebanyak RM2 juta telah dibayar kepada Setiausaha Bahagian UMNO Pekan, Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib bagi membantu Saidi mendapatkan projek tersebut.

Datin Seri Rosmah Mansor yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini berdepan satu pertuduhan meminta suapan sebanyak RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Saidi mendapatkan kontrak menerusi rundingan terus.

Perbicaraan bersambung esok. –MalaysiaGazette

4 Komen

  1. Nohaiii.. petik habis nama nama peminta sedekah. Haaa.. camni bru betoi. Jgn malu jgn segan.. cerita semua nama ahli politik yg suka minta duit suapan. Next PRU kita tau la apa nak buat.

  2. Buraikan abis2 … Dulu roda kat atas..skrang roda kat bawah..dalam lumpur pulak tu… Kan hidup kita umpama roda???? Sape yg terberak merata..tak tahu malu..cium lah balik bau taik sendiri… Balasan Allah tetap ada seperti yang dijanjikanNya.

  3. Rayyan seorg saksi yg jujur. Tak perlu sembunyi apa2. Yg salah, tetap salah biar siapapun dia.

Comments are closed.