SHAH ALAM – Selangor tidak akan mengikut langkah Persekutuan jika ia memilih untuk mengadakan pilihan raya kilat, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, Selangor menuruti keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) iaitu kerajaan negeri yang ditadbirnya tidak akan mengadakan pilihan raya kilat.
Kata Amirudin, kerajaan PH Selangor adalah kukuh dan selesa dengan majoriti dua pertiga, serta mempunyai mandat selama lebih dua tahun lagi untuk mentadbir negeri itu.
“Perikatan Nasional (PN) pula hanya mentadbir Persekutuan dengan majoriti yang rendah. UMNO asyik menyerang PN, sehingga timbul spekulasi mengenai pilihan raya kilat,” katanya kepada Oriental Daily.
Dalam wawancara dengan akhbar itu, Amirudin yang dilihat sebagai anggota “kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali” turut ditanya kenapa beliau tidak meninggalkan PKR.
Jelas Amirudin, beliau menyokong prinsip perjuangan PKR dan bukannya menyokong individu tertentu.
“Apabila kami bercakap tentang reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim seakan-akan menjadi satu ikon.
“Tetapi setelah berjuang selama 20 tahun, kami faham bahawa semangat perjuangan ini adalah melebihi individu.
“Saya bukan berjuang supaya Anwar menjadi Perdana Menteri atau Azmin menjadi Perdana Menteri, percaturan seperti ini hanyalah sejenis strategi politik,” katanya.
Ditanya hubungannya dengan Mohamed Azmin, Amirudin berkata, mereka kadangkala bertemu kerana urusan rasmi dan akan mengucapkan salam pada musim perayaan, tetapi tiada interaksi dari segi politik.
“Beliau telah memilih untuk pergi ke Bersatu manakala saya memilih untuk kekal dengan PKR. Dalam politik, hubungan kami adalah bertentangan,” katanya.
Mengenai hubungan dengan Anwar pula, Amirudin berkata, beliau menghormati Anwar sebagai Presiden PKR dan akan melaporkan hal ehwal pentadbiran Selangor kepada beliau.
Sementara itu, Amirudin tidak bersetuju dengan “pembersihan” terhadap penyokong Mohamed Azmin dalam PKR.
“Kami masih mempunyai kawan yang kekal dalam PKR kerana mereka percaya kepentingan parti adalah melebihi kepentingan individu.
“Saya berharap parti akan mengikuti prosedur yang saksama sebelum mengambil tindakan, ini termasuk menawarkan peluang kepada pemimpin berkenaan untuk memberi penjelasan,” katanya. – MalaysiaGazette