Home Nasional SKMM sekat 2,484 laman web pornografi – Zahidi

SKMM sekat 2,484 laman web pornografi – Zahidi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,484 laman web pornografi telah disekat pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, usaha itu diteruskan oleh pihak tersebut berasaskan aduan yang diterima serta pemantauan proaktif yang dijalankan.

Beliau berkata, sejak tahun 2018 sehingga 30 Jun lalu, sejumlah 125 kertas siasatan telah dibuka oleh SKMM berhubung kandungan lucah dan sebanyak lima kes berjaya didakwa.

“Justeru, dalam membuat pilihan adalah penting untuk masyarakat memilih apa yang baik dan menghindari apa yang dirasakan tidak baik bagi mereka.

“Mesej utama yang disampaikan ialah penggunaan internet yang positif serta kawal selia kendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Parlimen (Bachok-PAS), Nik Mohamad Abdul Nik Abdul Aziz yang bertanya sejauh mana usaha yang telah diambil bagi mengekang sebarang aktiviti laman sosial yang mempromosi kelakuan songsang LGBT dan budaya pornografi di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zahidi, selain tindakan undang-undang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 (bagi kandungan lucah), pihak yang terlibat turut tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada seperti Kanun Keseksaan dan enakmen-enakmen undang-undang syariah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri.

Tambahnya, kandungan berunsur lucah sememangnya menjadi kesalahan di paltform media sosial seperti Facebook dan Instagram video seperti Youtube.

“Pihak kementerian melalui SKMM berserta dengan pihak penyedia paltform yang terlibat akan menilai kandungan-kandungan yang dilaporkan berdasarkan terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak mereka .

“Kandungan tersebut akan dipadam sekiranya didapati melanggar terma dan syarat, serta piawaian komuniti atau comunity standards yang ditetapkan oleh pihak mereka,” katanya. – MalaysiaGazette