KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang yang menuduh Barisan Nasional (BN) ‘merompak’ wang tuntutan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 bilion terbukti meleset.
Ini kerana wang itu sebenarnya telah dibelanjakan untuk merancakkan pembangunan negara, kata Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.
Beliau menyatakan wang tersebut tidak hilang sebaliknya digunakan sekaligus menidakkan tuduhan tersebut.
“Tiada wang GST yang dirompak dan kedua wang tersebut digunakan untuk pembangunan negara. Hasil laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC), kita sedang menambah baik proses kutipan dan pembayaran balik GST seperti yang dikehendaki dalam laporan PAC bertarikah 15 Julai 2020.
“Wang RM19.4 bilion itu merupakan wang yang sepatutnya dibayar balik GST ketika itu tetapi berlaku penambahan tuntutan GST sebanyak lebih kurang RM19 bilion. Ini bermakna proses kutipan bayaran balik GST bukan proses yang tidak dinamik.
“Ia satu proses dinamik yang memerlukan pautan yang sangat dalam supaya tidak berlakunya ketirisan wang dan saya yakin jika kita dapat selesaikan pembayaran balik GST, ekonomi kita pasti akan dapat ditingkatkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Pontian-BN), Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung tuduhan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sebelum ini menuduh kerajaan BN ‘merompak’ kutipan hasil GST.
Sementara itu Shahar berkata, Kementerian Kewangan akan menyelesaikan tunggakan pembayaran balik GST berjumlah RM4.763 billion selewat-lewatnya menjelang akhir tahun.
Katanya, antara kekangan pembayaran balik GST itu adalah maklumat bank yang tidak sah selain pihak (syarikat) terbabit gagal memberi maklum balas serta tidak mengemukakan dokumen yang dikehendaki bagi tujuan pengesahan.
Menurutnya, sejumlah RM1.479 bilion telah diluluskan untuk tuntutan bayaran balik GST bagi tempoh 22 Jun 2020 sehingga 8 Julai lalu.
“Kerajaan menerusi satu pengumuman pada 15 Jun 2020 telah bersetuju supaya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengambil pendekatan ‘bayar dahulu dan audit kemudian’ bagi syarikat terpilih berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 serta kriteria-kriteria tertentu.
“Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini,” ujarnya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (Kubang Pasu-Bebas), Datuk Amiruddin Hamzah mengenai pembayaran balik GST berkenaan.
Mohd Shahar turut menegaskan Kementerian Kewangan tidak akan menangguhkan pembayaran tuntutan itu malah dalam proses untuk mempercepatkan usaha terbabit.
“Kita akan mempercepatkan proses ini dan tidak akan menganiayai mana-mana syarikat yang layak untuk menerima bayaran balik itu,” katanya. – MalaysiaGazette