Home Nasional Bukti kes bunuh pensyarah tak ditemui – Wan Kamarul

Bukti kes bunuh pensyarah tak ditemui – Wan Kamarul

Beberapa anggota polis dan Pasukan Gerakan Marin di tempat lokasi yang dipercayai suspek membuang bahan bukti di Tasik Taman Putra Perdana, Puchong. foto MOHD ADZLAN, 4 OGOS 2020.

SEPANG – Usaha untuk mencari bahan bukti bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita di dalam sebuah kereta di Taman Mas Putra Perdana hari ini gagal apabila polis tidak menemui bukti berkenaan.

Hasil pencarian oleh kira-kira empat Unit Selam Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama lebih tiga jam tidak menemui telefon bimbit mangsa.

“Sudah habis (operasi pencarian bahan bukti) tapi tak jumpa barang kes,” kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika ditemui hari ini.

Sebelum itu, kira-kira pukul11 pagi tadi, PDRM bersama-sama suspek pembunuhan itu sekali lagi ke Tasik Taman Putra Perdana di sini bagi mencari bahan bukti kejadian berkenaan.

Suspek yang berpakaian reman dan bergari dilihat menunjukkan lokasi dipercayai lokasi telefon bimbit mangsa dibuang.

Suspek yang juga seorang pensyarah dipercayai menjerut leher isterinya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, minggu lalu.

Suspek dipercayai tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan perceraian.

Lelaki itu bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.04 pagi. – MalaysiaGazette