INDUSTRI sawit adalah sebuah industri yang penting kepada ekonomi negara. Ekosistem industri sawit melingkupi tiga sektor iaitu huluan, pertengahan dan hiliran. Sektor huluan mewakili aktiviti perladangan, sektor pertengahan melibatkan aktiviti pengilangan dan pemprosesan, dan sektor hiliran melibatkan aktiviti penghasilan produk akhir dan produk tambah nilai.
Pada 2019, industri sawit telah menyumbang 234.48 juta tan iaitu 32 peratus pengeluaran minyak sayuran dunia. Di peringkat global, Malaysia adalah pengeluar
sawit dan pengeksport sawit kedua terbesar iaitu masing-masing 26 peratus dan 34
peratus berbanding negara pengeluar dan pengeksport sawit yang lain.
Ternyata industri minyak sawit Malaysia adalah berorentasikan eksport. Negara-
negara pengimport dan pengguna seluruh dunia pula mengutamakan produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan. Beberapa industri agrimakanan menetapkan Certified Sustainable Palm Oil (CSPO) untuk memenuhi permintaan pembeli sebagai bukti kemampanan dalam rantaian bekalan minyak sawit.
Namun, hanya syarikat perladangan berkapasiti besar mampu menanggung kos
bagi memenuhi kriteria kemampanan yang tinggi seperti pensijilan Rountable
Sustainable Palm Oil (RSPO). Oleh itu, penting untuk Malaysia mendapat keyakinan
pengguna antarabangsa terhadap pengeluaran minyak sawit mampan daripada
Malaysia.
Definisi kemampanan
Laporan Brundtland yang diterbitkan oleh World Commission on Environment and
Development (WCED) pada 1987 memperkenalkan konsep kemampanan dengan
definisi kemampanan sebagai pembangunan untuk memenuhi keperluan masa kini
tanpa menjejaskan kebolehan untuk memenuhi keperluan generasi masa hadapan.
Kemampanan terangkum dalam tiga rukun: kesejahteraan alam sekitar, masyarakat
dan ekonomi. Dalam erti kata lain, kemampanan adalah pembangunan yang seiring
dengan kesejahteraan alam sekitar, sosial dan ekonomi masyarakat.
Daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals)
yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations), tujuh
daripadanya menjadi asas pembinaan industri sawit mampan di Malaysia (Gambar).
Kemajuan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) perlu dilaksanakan oleh seluruh penggiat industri sawit Malaysia bagi meningkatkan kredibiliti produk sawit keluaran Malaysia yang berorentasikan kepada pasaran antarabangsa.
MSPO dibangunkan hasil penglibatan MPOB dengan pakar kelestarian, SIRIM
Berhad dan komuniti sawit negara. MSPO dilaksanakan secara sukarela pada 1
Januari 2015 dan telah dimandatorikan kepada seluruh rantaian industri sawit
bermula 1 Januari 2020.
MSPO mengandungi tujuh prinsip yang mencerminkan keperluan kemampanan
untuk pekebun kecil, ladang dan kilang sawit. Tujuh prinsip ini menekankan komitmen dan tanggungjawab pihak pengurusan; ketelusan; pematuhan terhadap keperluan perundangan; tanggungjawab sosial, kesihatan, keselamatan dan syarat pekerjaan; alam sekitar, sumber semulajadi, kepelbagaian bio dan ekosistem; pelaksanaan kod amalan baik; dan pembangunan penanaman baru.
Sehingga 30 Julai 2020, 85.22 peratus daripada 5.9 juta hektar tanaman sawit di
Malaysia dan 89.60 peratus daripada keseluruhan 452 kilang buah sawit telah
mendapat pensijilan MSPO.
Bagi pekebun kecil tersusun, seramai 231,576 orang dengan keluasan 679,075
hektar iaitu 99.64 peratus telah memperoleh sijil MSPO.
Kementerian dan MPOB bergerak aktif untuk memastikan kesemua pekebun kecil
persendirian mendapat persijilan MSPO. Pekebun kecil persendirian di bawah
Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC akan dibantu oleh Pegawai TUNAS
untuk melaksanakan Amalan Pertanian Baik bagi persediaan pensijilan MSPO
kebun sawit secara berkelompok.
Pada Julai 2020, semua 162 kumpulan SPOC di seluruh negara telah disijilkan
melibatkan 62,009 orang pekebun kecil dengan keluasan tanaman sebanyak
237,876 hektar (24.12%).
Antara cabaran yang dihadapi untuk mempersijilkan pekebun kecil persendirian ialah
status pemilikan kebun yang tiada geran tanah sah. Ini berkaitan dengan status
tanah atau memiliki geran tanah sementara, tanah ceroboh dan penukaran syarat
nyata tanah kepada tanaman sawit.
Cabaran lain termasuk kesukaran untuk menghubungi pekebun kecil kerana tidak
mengusahakan kebun secara sepenuh masa atau mengupah kontraktor untuk
menguruskan kebun.
Selain itu, terdapat tanaman sawit milik pekebun kecil yang ditanam tidak mengikut
Amalan Pertanian Baik dan kesediaan untuk melaksanakan pensijilan MSPO.
Kerajaan melalui Kementerian menyediakan insentif untuk membantu pekebun kecil
persendirian membiayai kos yuran pensijilan, latihan berkaitan MSPO, penyediaan
stor penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE).
Sawit Mampan Kunci Kemajuan
Kemampanan kini adalah isu sejagat. Dalam melayari usia lebih 100 tahun industri
sawit di Malaysia, pelbagai cabaran telah dapat dihadapi dengan cemerlang.
Cabaran kali ini adalah meningkatkan reputasi industri sawit untuk mencapai tahap
kemampanan yang diiktiraf dunia. Dengan kerjasama semua pihak, sasaran
pencapaian 100 peratus penanaman sawit dipersijilkan dengan MSPO pasti akan
dapat direalisasikan.
Oleh: Dr. Laziana Ahmad
Pegawai Komunikasi Sains, Unit Komunikasi Korporat, Lembaga Minyak Sawit
Malaysia (MPOB)