Home Nasional Malaysia sedia beli vaksin Covid-19 – Ahmad Amzad

Malaysia sedia beli vaksin Covid-19 – Ahmad Amzad

Hujah agama, yang diguna pakai golongan profesional bukan daripada bidang perubatan dan penjual produk-produk alternatif, mengenai keburukan vaksin adalah antara punca ramai ibu bapa menolak pengambilan vaksin untuk kesihatan anak-anak mereka, kata seorang pakar perubatan kesihatan awam.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia untuk membeli vaksin Covid-19 dari mana-mana negara yang berjaya mencipta penawar kepada pandemik itu.

Ia termasuk membelinya dari negara China, Rusia dan United Kingdom, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata, melalui kelulusan mesyuarat baru-baru ini di bawah Majlis Sains Negara, pembelian vaksin akan dilakukan secara pukal dengan proses pembotolannya dibuat di dalam negara sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukan vaksin yang mana akan diguna pakai.

“Setakat ini, kementerian melalui perbincangan dengan pelbagai negara, antara lain terbabit dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) yang mana membolehkan kementerian berhubung rapat dengan kajian yang dijalankan pelbagai pihak dalam mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan.

“Ia membolehkan sekiranya ada mana-mana negara yang mencapai tahap fasa tiga iaitu kajian klinikal selesai dan mendapat kelulusan, serta KKM menentukan yang mana vaksin diterima untuk dipakai di Malaysia, kita akan beli secara pukal dengan proses pembotolan dilakukan di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen (Hang Tuah Jaya-PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang ingin tahu sama ada pihak kementerian ada membuat kerjasama strategik dengan negara di rantau ASEAN untuk mendapatkan vaksin mampu milik di negara ini.

Ahmad Amzad berkata, kementerian di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu negara ketika berdepan cabaran Covid-19.

Ujarnya, melalui NTIS, ia berperanan menjadi platform membolehkan syarikat permulaan, penyelidik, penggerak inovasi, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk, perkhidmatan, model perniagaan dan mekanisme penyampaian dalam persekitaran yang sebenar.

“Selain itu, agensi di bawah kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memasang lapan unit Covid-19 screening booths menggunakan teknologi nano-coating nyah-kuman di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah (PPD),” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, kerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi membantu KKM melalui Pasukan Khas Saringan Covid-19 yang terdiri daripada saintis pakar dalam bidang virologi, mikrobiologi, biologi molekul dan penyakit berjangkit turut dilaksanakan untuk menjalankan saringan Covid-19. – MalaysiaGazette