Home Nasional Pensyarah mati dijerut: Pencarian bahan bukti di tasik dihentikan

Pensyarah mati dijerut: Pencarian bahan bukti di tasik dihentikan

Pegawai Polis dan Pasukan Penyelam Marin PDRM di tempat lokasi yang dipercayai suspek membuang bahan bukti di Tasik Taman Putra Perdana, Puchong. foto MOHD ADZLAN, 4 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Polis tidak berhasrat menyambung operasi mencari bahan bukti dipercayai telefon bimbit milik pensyarah yang mati dijerut dengan kain tudung oleh suaminya pada 29 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, operasi yang bermula pada 11 pagi tadi dan berakhir kira-kira dua jam selepas itu gagal menemui bahan bukti yang dipercayai dicampak ke dalam tasik berhampiran Taman Mas Putra Perdana.

“Operasi pencarian telah dimulakan bermula 11 pagi hingga 1.10 tengahari tadi dengan kekuatan tiga penyelam Marin Polis Diraja Malaysia iaitu seorang Sarjan dan dua berpangkat Koperal.

“Selepas lebih 2 jam 10 minit pencarian dilaksanakan polis tidak dapat menemui hasilnya.

“Kami tak dapat kesan (bahan bukti) kerana kawasan berbatu dan penuh dengan sampah serta pokok.

“Penyelaman dilakukan dalam radius 30 kaki dari tebing dan 12 kaki dalam gagal menemukan kami dengan bahan bukti yang diperlukan untuk membantu siasatan lanjut kes,” katanya dalam kenyataan petang tadi.

Ditanya sama ada operasi pencarian bahan bukti berkenaan akan diteruskan selepas ini ataupun esok, katanya, operasi tidak akan disambung semula.

“Tidak (tidak akan teruskan pencarian) sebab sukar,” katanya ringkas.

Terdahulu, polis telah membawa suspek yang juga suami kepada mangsa ke lokasi tasik berkenaan hari ini.

Pada 31 Julai lalu, suspek berusia 41 tahun direman sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh isterinya, Profesor Madya Maizatul Niza Othman di dalam sebuah kereta di Taman Mas Putra Perdana, Rabu lalu.

Ketika kejadian, suspek dipercayai marah kerana isterinya mahu memfailkan penceraian sebelum bertindak menjerut leher isterinya dengan menggunakan tudung yang dipakai mangsa sehingga mati di dalam kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih.

Mangsa dipercayai membawa isterinya berusia 40 tahun itu dengan kenderaan tersebut menghala ke Tasik PKNS, Pinggiran Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang.

Siasatan polis mendedahkan suspek dipercayai meletakkan mayat isterinya, di tempat duduk pemandu dan mengambil dompet serta telefon mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan enjin dihidupkan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan bersama anak perempuannya yang berusia 14 tahun keluar menaiki Grab dan pergi semula ke lokasi terbabit pada Khamis jam 1.23 pagi sebelum menghubungi polis. – MalaysiaGazette