Home Nasional Saksi dakwa Jepak Holdings ‘dilindungi’ orang KPM

Saksi dakwa Jepak Holdings ‘dilindungi’ orang KPM

Datin Seri Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR – Saksi kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah pedalaman Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd sebenarnya ‘kebal’ di lindungi.

Malah syarikat itu, dakwa saksi, telah melakukan perubahan klausa yang sebenarnya satu kesalahan namun pihak berwajib (KPM) buat tidak endah tentangnya.

Yang melindungi Jepak Holdings yang mendapat kontrak secara rundingan terus itu kata saksi, Rayyan Radzwill Abdullah adalah pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika itu.

Dakwa Rayyan, Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama-sama dua Ketua Setiausaha tidak berbuat apa-apa walaupun sedia maklum tentang perubahan klausa itu.

Demikian kata Rayyan kepada peguam bela, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika soal balas hari ini di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Jepak Holdings dipercayai telah mengubah hampir tujuh klausa dalam kontrak berkenaan yang sebenarnya bertentangan dengan syarat kerajaan.

Rayyan: Sebenarnya klausa-kalusa itu telah digazetkan dan tidak boleh di ubah namun Jepak Holdings berjaya melakukan perubahan itu. Tindakan itu juga mengakibatkan kerajaan kerugian besar.

Akberdin: Adakah Ketua Setiausaha itu Tan Sri Madinah Mohamad yang memegang jawatan itu sehingga September 2016 kemudian di gantikan pula dengan Datuk Alias Ahmad? Juga bekas Menteri Pendidikan, Mahdzhir Khalid?

Rayyan: Ya.

Akberdin: Adakah kesemua mereka gagal jalankan tugas dan tiada integriti sebagai pegawai kerajaan kerana telah melindungi Jepak Holdings?

Rayyan: Saya tidak kata mereka berpakat, saya tidak tahu tapi mereka lindungi Jepak Holdings.

Saya pernah hubungi mereka tentang pindaan-pindaan ini namun mereka tidak berbuat apa-apa tentangnya.

Rayyan juga mendakwa dirinya sekali lagi ada menghubungi Madinah ketika memegang jawatan Ketua Audit Negara pada 2017 namun bertindak ketika Pakatan Rakyat memerintah.

Sekali lagi Rayyan mengulangi pendiriannya tidak boleh menerima salah laku dalam syarikat ini dengan KPM kerana ianya bukan sahaja melibatkan sebaliknya pemberian ‘rasuah’ oleh Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin.

“Saya cuba nasihat tapi beliau tidak dengar sebaliknya berterusan memberitahu ‘beginalah’ caranya jika mahu dapatkan projek,” dakwanya.

Perbicaraan akan bersambung esok.

Rosmah ketika ini sedang berhadapan dengan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi. –MalaysiaGazette