Home Pendapat Cadangan akta khusus bendung hina mahkamah perlu dikaji teliti

Cadangan akta khusus bendung hina mahkamah perlu dikaji teliti

CADANGAN pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah akta khusus bagi membendung penghinaan mahkamah diyakini dapat melindungi integriti sistem kehakiman dan kestabilan negara kita. Walaupun begitu, kajian terperinci masih perlu dilakukan terhadap cadangan akta khusus berkenaan terutamanya dari sudut kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat orang ramai dalam negara kita seperti yang telah termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan. Seperti yang diketahui, kebebasan orang ramai untuk bersuara dan meluahkan pendapat adalah dijamin dibawah Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa “tiap-tiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”.

Namun, kita tidak menafikan bahawa kebebasan yang diberikan dibawah Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah bersifat mutlak. Setiap perkara terdapat batas-batasnya,
Setiap jenis kebebasan yang diberikan juga masih tertakluk kepada peruntukkan undang- undang bagi mengelakkan mana- mana pihak menyalahgunakan kebebasan yang
telah diberikan kepada mereka untuk mencetuskan huru-hara serta perasaan tidak hormat kepada mana-mana institusi yang ada dalam negara kita. Perkara ini jelas
diperuntukkan dibawah Perkara 10 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan dimana ia jelas menyatakan bahawa “Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa
sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain,
ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk
membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa – apa kesalahan”.

Apa itu penghinaan mahkamah? Penghinaan mahkamah meliputi tindakan atau perbuatan sama ada melalui perkataan atau tulisan yang menghina institusi kehakiman itu sendiri, menghina pihak-pihak yang terlibat dalam kes dalam mahkamah, menghakimi seseorang sebelum kes didengari, ingkar terhadap perintah atau arahan mahkamah, tidak menghormati keputusan mahkamah yang telah dibuat dan lain-lain lagi. Penghinaan mahkamah boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu penghinaan sivil dan penghinaan jenayah. Penghinaan sivil biasanya berlaku apabila sesuatu pihak atau individu enggan menurut perintah atau arahan mahkamah. Penghinaan jenayah adalah lebih serius daripada penghinaan sivil. Ianya berlaku apabila seseorang individu menghina, mengganggu, atau menjejaskan prosiding kehakiman. Pada ketika ini, tiada undang- undang khusus bagi mengawalselia isu penghinaan mahkamah ini dalam negara kita.

Kes-kes penghinaan mahkamah akan ditentukan mengikut prinsip undang-undang common (Common law). Sekiranya seseorang itu ingin disabitkan dengan kesalahan penghinaan mahkamah, maka prosiding komital dibawah Perintah 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 boleh diambil. Tidak kiralah sama ada penghinaan itu berbentuk penghinaan sivil ataupun penghinaan jenayah, kesan daripada penghinaan yang dilakukan adalah bersifat jenayah. Ini kerana pihak yang bersalah kerana menghina mahkamah akan dipenjarakan atau dikenakan denda. Tempoh pemenjaraan atau jumlah denda yang dikenakan bergantung kepada keseriusan penghinaan tersebut.

Setiap negara ada cara masing- masing untuk menguruskan isu yang berkaitan dengan penghinaan mahkamah ini. Ada negara seperti Malaysia yang mengunapakai prinsip undang-undang common (Common law) dan ada juga negara yang mewujudkan peruntukkan undang-undang khusus bagi mengawal isu berkaitan dengan penghinaan mahkamah ini seperti di England dan Wales melalui Contempt of Court Act 1981 dan India melalui Contempt of Courts Act of 1971. Pihak kerajaan boleh membuat rujukan kepada semua peruntukkan undang-undang ini dalam merangka undang-undang khusus
berkaitan dengan isu penghinaan mahkamah dalam negara kita kelak.

Definisi atau maksud penghinaan mahkamah juga boleh diberi tumpuan utama didalam cadangan akta khusus berkenaan supaya orang ramai tidak keliru dengan isu penghinaan mahkamah ini. Apa yang paling penting dalam merangka cadangan undang-undang khusus terhadap isu ini ialah satu bentuk imbangan dapat diwujudkan bagi memastikan kebebasan orang ramai untuk bersuara dan meluahkan pendapat dapat dijamin serta pada masa yang sama integriti sistem kehakiman kita juga dapat dilindungi. Ini boleh dilakukan dengan memastikan tahap pembuktian yang tinggi diperlukan sebelum menjatuhkan kesalahan terhadap orang yang dituduh serta pemberian banyak ruang mempertahankan diri mereka daripada disabitkan dengan kesalahan penghinaan mahkamah berpandukan undang-undang dan proses pembuktian.

Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)