Home Politik Pemimpin politik kena ada sifat lembut dan akrab dengan rakyat

Pemimpin politik kena ada sifat lembut dan akrab dengan rakyat

Hakim Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya, sekali gus menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan Senator Datuk Marzuki Yahya.
Datuk Shabudin Yahaya

KUALA LUMPUR – Pemimpin politik disaran agar menyantuni rakyat dengan sifat yang lembut kerana ia boleh mengakrabkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shabudin Yahaya berpendapat, seorang pemimpin yang baik adalah mereka yang sentiasa ingat akan tanggungjawab serta menjaga kerukunan dalam masyarakat.

Beliau berkata, pemimpin politik juga harus memiliki sifat terpuji seperti bersyukur dalam menerima sesuatu perkara kerana sifat itu boleh dicontohi oleh rakyat.

“Pendapat saya, seorang pemimpin itu dipilih untuk berkhidmat kepada rakyatnya dan tanggungjawab itu perlu ditunaikan selagi hayat dikandung badan dengan sebaik-baiknya walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan usikan seteru politik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shabudin, walau apa juga program atau majlis dihadiri, niat utama adalah menyantuni rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, bangsa dan agama kerana mereka ini perlu didekati tanpa mengira waktu dan bukan hanya musim pilihan raya semata-mata.

Ujarnya, pertemuan dengan rakyat itu penting daripada mereka menjanjikan pelbagai bulan dan bintang namun, akhirnya gagal menunjukkan muka di khalayak ramai dan hanya muncul apabila memerlukan bantuan undi rakyat semata-mata.

Katanya lagi, orang politik perlu menggunakan peluang dan tanggungjawab yang diberikan sebagai wakil rakyat dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab tanpa belah bahagi, serta tidak mengira perbezaan fahaman politik, dan fokus untuk membantu rakyat.

Ini kerana katanya, wakil rakyat itu adalah jambatan yang menghubungkan rakyat dengan agensi, institusi kerajaan, badan bukan kerajaan, pihak berkuasa, dan itulah tanggungjawab yang perlu digalas selagi bergelar wakil rakyat.

“Dewasa ini, penggunaan media sosial penting bagi memudahkan tugasan sebagai seorang pemimpin dan wakil rakyat dipaparkan kepada rakyat sebagai satu platform mendekatkan diri di antara kedua-dua pihak yang saling memerlukan.

“Jadi, tiada lagi alasan untuk wakil rakyat mendekatkan dirinya dengan masyarakat kerana perkara itu akan menyebabkan diri mereka dinilai pada masa akan datang.

“Keadaan semasa telah merubah segalanya dan mereka yang sering memberikan alasan akan mendapat rugi di masa kelak,” tambahnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.