Home Nasional Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Myanmar tumpas

Sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Myanmar tumpas

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud menunjukkan dokumen palsu yang dirampas oleh Jabatan Imigresen Malaysia ketika di sidang media mengenai kejayaan Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen didalangi warga Myanmar di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 5 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Dua sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi warga Myanmar dan aktif di ibu negara berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi di dua buah premis perniagaan semalam.

Ia merupakan kejayaan hasil perkongsian maklumat risikan jabatan itu dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dilakukan sejak dua bulan lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil operasi tersebut JIM menahan seramai 16 lelaki warga asing yang terdiri daripada 15 warga Myanmar, seorang warga Bangladesh dan seorang warga tempatan.

Katanya, aktiviti sindiket itu telahpun dihidu sejak Mei susulan pendaratan etnik Rohingya di Pantai Kuala Muda, Kedah pada Mac lepas.

“Hasil risikan dan siasatan awal mendapati pemalsuan dokumen ini didalangi warga Myanmar dan modus operandi sindiket ialah membuat pelbagai dokumen palsu yang mensasarkan warganegara Myanmar dari etnik Rohingya dan Arakan Muslim.

“Sindiket dipercayai telah beroperasi selama dua tahun dan risikan mendapati sekitar 30 hingga 50 orang pelanggan berurusan dengan mereka setiap hari,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Khairul menjelaskan sindiket terbabit mengenakan bayaran kepada pelanggan mengikut jenis dokumen yang ditempah dengan kadar harga antara RM30 hingga RM150.

Katanya, dokumen palsu yang ditempah pelanggan itu disiapkan pada hari yang sama bagi Lembah Klang dan sindiket turut mengambil tempahan dari seluruh Semenanjung.

Tambah beliau, dokumen yang siap dihantar melalui kurier setelah sindiket menerima bayaran daripada pelanggan masing-masing.

Menurut Khairul, antara dokumen yang berjaya dirampas dalam operasi berkenaan iaitu 13 keping i-Kad Imigresen, 35 keping kad UNHCR, lima keping kad CIDB, enam keping surat UNHCR, tiga unit komputer riba, tiga unit komputer desktop, enam unit mesin pencetak, empat unit mesin lamina dan lima unit pendrive.

Turut ditemui beberapa keping laminat hologram UNHCR, kad nikah muslim Myanmar dan kad pertubuhan Rohingya di Malaysia.

Katanya lagi, kesemua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

JIM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan kes itu disiasat di bawah Akta Anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM), katanya. – MalaysiaGazette