WASHINGTON – Facebook Inc. memadamkan hantaran yang dibuat oleh Presiden Donald Trump kerana dikatakan melanggar undang-undang berkaitan penyebaran maklumat tidak tepat Covid-19.
Hantaran yang mengandungi satu klip video daripada sebuah temubual bersama Fox & Friends itu, menurut Trump “hampir semua kanan-kanak adalah kebal kepada Covid-19.”
“Video tersebut mengandungi dakwaan palsu yang mengatakan ada sekumpulan manusia yang kebal kepada Covid-19.
“Ini merupakan pelanggaran kepada dasar kami di bawah peruntukan maklumat salah mengenai Covid-19,” kata seorang jurucakap Facebook.
Dalam masa yang sama, ciapan yang mengandungi video berkenaan di akaun @TeamTrump milik pasukan kempen Presiden tersebut turut dipadam oleh Twitter kerana melanggar peraturan penyebaran maklumat salah mengenai Covid-19.
Menurut jurucakap Twitter, pentadbir akaun @TeamTrump diminta untuk membuang ciapan tersebut sebelum mereka boleh membuat sebarang hantaran semula.
Pasukan kempen Trump menuduh Facebook dan Twitter tidak adil kepada Presiden dengan mengatakan apa yang ditulis oleh beliau adalah fakta.
“Syarikat-syarikat media sosial bukan penimbang tara kebenaran,” kata jurucakapnya Courtnet Parella.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pernah memaklumkan sebelum ini, meskipun kebanyakan pesakit Covid-19 adalah orang dewasa namun terdapat kanak-kanak dan bayi yang turut dijangkiti serta boleh menjangkiti virus berkenaan kepada orang lain.
White House bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas segera berhubung perkara tersebut.
Dalam satu taklimat di White House, Trump terus mengulangi dakwaannya yang mengatakan virus tersebut mempunyai impak yang kecIl kepada kanak-kanak.- Agensi