KUALA LUMPUR – Pemain bola sepak remaja sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin hari ini melengkapkan proses perpindahannya ke kelab profesional Belgium, KV Kortrijk dengan mengikat kontrak lima tahun bersama kelab tersebut.
Pada usia 18 tahun, Luqman Hakim pemain utama skuad Bawah 19 (B-19) Kebangsaan, akan menjadi rakyat Malaysia pertama bermain di Divisi Utama A, Belgium.
Difahamkan Luqman Hakim akan menerima pendapatan pada sekitar RM20,000 hingga RM23,000 sebulan, selain disediakan sebuah apartment dan kereta.
Beliau telah diperkenalkan sebagai seorang pemain ‘De Kerels’ pada satu majlis yang turut dihadiri pemilik KV Kortrijk Tan Sri Vincent Tan, Duta Besar Belgium ke Malaysia Pascal H. Gregoire dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon.
“Satu perkara bersejarah untuk bola sepak Malaysia, beliau mungkin rakyat Malaysia pertama bermain di Eropah dan pemain Malaysia bermain dalam liga premier Belgium. Ia satu keputusan besar buat kelab, pihak pengurusan juga merasakan ia terlalu awal, tetapi saya sebagai pemilik meminta beliau (Luqman Hakim) diberikan peluang,” kata Tan pada sidang media selepas majlis tersebut.
Luqman Hakim dijangka akan bertolak ke Kortrijik minggu depan bagi menjalani pemeriksaan perubatan sebagai persediaan menghadapi Liga Pro yang dijadualkan bermula bulan ini.
Penjaring terbanyak Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 itu, gembira untuk akhirnya menyertai pasukan di Belgium itu selepas perbincangan yang memakan masa berbulan, termasuk laporan yang mengaitkan beliau dengan beberapa kelab Eropah.
“Saya rasa amat bangga dan bersyukur diberi peluang untuk bermain di sana. Jadi saya harap rakyat Malaysia berdoa semoga saya dapat bermain dengan 100 peratus,” katanya pemain kelahiran Kota Bharu itu.
Berdasarkan perancangan asal, Luqman Hakim sepatutnya menjalani latihan selama tiga bulan di kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City pada Januari lepas sebagai persediaan sebelum ke KV Kortrijk, namun hasrat berkenaan terpaksa ditangguhkan susulan masalah visa dan penularan pandemik COVID-19.
Luqman Hakim telah tersenarai dalam senarai tahunan ‘Next Generation’ Guardian, selaku 60 pemain remaja berbakat terbaik pemain dan juga salah seorang daripada 80 bakat muda dari seluruh dunia untuk anugerah ‘Golden Boy’.- BERNAMA