KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) melonjak 26.2 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding bulan sebelumnya ekoran kelulusan aktiviti ekonomi yang lebih banyak dibuka oleh kerajaan sejak Mei 2020.
Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, peningkatan IPP pada bulan Jun 2020 disebabkan oleh kenaikan dalam kesemua Indeks; Indeks pembuatan (36.8%), Indeks perlombongan (2.4%) dan indeks elektrik (0.2%).”
Walau bagaimanapun, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi perubahan tahun ke tahun, IPP menyusut 0.4 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Penguncupan IPP pada bulan Jun 2020 disebabkan oleh penurunan dalam Indeks Perlombongan (-17.1%) dan Indeks
Elektrik (-2.4%).
Sementara itu, Indeks Pembuatan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.7 peratus.
Output sektor pembuatan meningkat 4.7 peratus pada bulan Jun 2020 selepas mencatatkan penurunan 22.6 peratus pada bulan Mei 2020.
Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Jun 2020 adalah produk peralatan elektrik dan elektronik (13.2%), produk makanan, minuman dan tembakau (10.5%) dan kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (10.7%).
Manakala output sektor Perlombongan menguncup 17.1 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya disebabkan oleh penurunan dalam Indeks Gas Asli (-13.5%) serta Indeks Minyak Mentah dan Kondensat (-21.1%).
Output sektor elektrik menguncup 2.4 peratus pada bulan Jun 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
IPP bagi suku tahun kedua 2020 merekodkan penyusutan ketara 17.9 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya dipacu oleh kemerosotan dalam kesemua Indeks; Indeks Perlombongan (-19.6%), Indeks Pembuatan (-18.1%) dan Indeks Elektrik (-10.8%). – MalaysiaGazette