Home Ekonomi Jualan sektor pembuatan Jun bernilai RM116.7 bilion

Jualan sektor pembuatan Jun bernilai RM116.7 bilion

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada bulan Jun 2020 berjumlah RM116.7 bilion berkembang sebanyak 30.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Berasaskan tahun ke tahun, nilai jualan melonjak 4.1 peratus selepas mencatatkan kemerosotan tiga bulan berturut-turut

Mengulas terhadap laporan tersebut, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, subsektor yang bertumbuh pada kadar yang lebih pantas bulan ke bulan adalah produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (87.4%), produk peralatan elektrik & elektronik (45.7%) dan produk mineral bukan logam, logam asas &
produk logam yang direka (26.3%).

Sementara itu, berasaskan tahun ke tahun, peningkatan yang direkodkan bagi nilai jualan pada bulan Jun 2020 adalah didorong oleh peningkatan dalam produk makanan, minuman & tembakau (25.3%), produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (23.1%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (12.7%).

Menurutnya, jumlah pekerja sektor pembuatan pada bulan Jun 2020 adalah seramai 2,188,142 orang, berkurang 2.2 peratus berbanding 2,238,195 orang pada Jun 2019.

Kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji & upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,113.1 juta, merosot sebanyak 2.0 peratus atau RM146.8 juta pada Jun 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 6.5 peratus kepada RM53,319 berbanding bulan yang sama tahun 2019. Sementara itu, purata gaji & upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,251 pada bulan Jun 2020.

Pada suku tahun kedua 2020, nilai jualan sektor pembuatan merosot 16.5 peratus kepada RM281.9 bilion berbanding 2.2 peratus yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya.

Penyusutan ini disebabkan oleh kemerosotan dalam produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (-48.8%), produk kelengkapan pengangkutan & pembuatan lain (-24.3%) dan produk peralatan elektrik & elektronik (-15.6%).

Bilangan pekerja dan gaji & upah masing-masing menyusut 2.2 peratus dan 4.0 peratus pada suku tahun kedua 2020. – MalaysiaGazette