LE HAVRE – Seorang lelaki bersenjatakan pistol dan menjadikan enam individu sebagai tebusan dalam sebuah bank di utara Perancis telah menyerahkan diri kepada polis setelah operasi selama enam jam untuk membebaskan tebusan.
Suspek yang berusia 34 tahun dengan sejarah penyakit mental, muncul di bangunan itu memakai balaclava dan dengan tangannya diangkat ke atas, sebelum polis merampas senjata dan menggarinya.
Semua tebusan tidak cedera, walaupun terkejut, kata Denis Jacob dari kesatuan polis.
Skuad bom polis kemudian bertindak setelah lelaki itu memberitahu pegawai terdapat bahan letupan di dalam beg.
Lelaki itu pada mulanya menjadikan enam individu sebagai tebusan tetapi membebaskan lima pada peringkat awal.
Tebusan keenam diselamatkan selepas suspek menyerah diri.
Yves Lefebvre, seorang pegawai polis berkata, identiti suspek memang dikenali dalam penguatkuasaan undang-undnag dan berada dalam senarai pemerhatian.
“Dia seorang radikal dan mengalami penyakit psikiatri,” katanya.
Sumber lain, seorang pegawai kanan polis memaklumkan semasa kejadian lelaki itu bercakap dia menyokong perjuangan Palestin.
Malah, ketika berjalan keluar dari bank tersebut, dia memakai bendera berwarna hijau yang melilit di bahunya. – MalaysiaGazette