Home Nasional Media bertanggungjawab pupuk perpaduan, mendukung keamanan – PM

Media bertanggungjawab pupuk perpaduan, mendukung keamanan – PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Media massa memainkan peranan penting dan bertanggungjawab dalam memupuk perpaduan dan mendukung keamanan berkekalan di mana-mana negara kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kepentingan media massa dalam pembangunan sosio, ekonomi dan kebudayaan sesebuah negara pada masa ini tidak boleh dinafikan dan patut diberikan pengiktirafan sewajarnya.

“Peranan ini jelas adalah selari dengan prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara, iaitu falsafah nasional negara dan sebagai panduan dalam pembinaan negara hebat ini, dan sebagai cara hidup untuk semua warganegara, tanpa sebarang perbezaan, tanpa mengira fahaman atau warna.

”Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa media massa telah menjadi pemangkin bagi keharmonian dan perpaduan dalam memastikan kejayaan dan kestabilan negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya semasa melancarkan pameran foto eksklusif New Straits Times di sini, malam ini, yang diadakan bersempena ulang tahun ke-175 akhbar berbahasa Inggeris itu, yang berkisar tentang penglibatannya dalam proses pembinaan negara sejak 1845.

Muhyiddin juga percaya kehadiran media arus perdana dapat berperanan sebagai rujukan untuk masyarakat awam bagi menilai sendiri kesahihan berita-berita yang diterbitkan atau ditularkan di media sosial, terutamanya semasa pandemik COVID-19.

“Dengan ini, saya ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga saya kepada semua pengamal media yang telah menjalankan tugas sukar ini disebalik risiko dihadapi mereka untuk berada di barisan hadapan bagi memberikan perkembangan terkini dan tepat kepada semua rakyat.

“Kita bukan sahaja bergelut dengan ancaman COVID-19 yang tidak dapat dikesan atau dilihat dengan mata kasar – situasi diburukkan lagi dengan penyebaran berita palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam lawatan itu, Muhyiddin turut meluangkan masa melawat pameran foto bertajuk ‘Traversing 175’, yang menonjolkan pencapaian Malaysia sejak awal abad ke-19, memaparkan koleksi lebih 400 keping gambar eksklusif dan nostalgia serta edisi muka depan akhbar pada tarikh-tarikh penting dalam sejarah negara.

Pameran “Traversing 175” di Galeri Prima di Balai Berita Bangsar diadakan sehingga 10 Ogos dengan galeri dibuka kepada orang awam pada hari bekerja dari 10 pagi hingga 6 petang.

Muhyiddin turut melancarkan KLIK, portal arkib berita terbaru NSTP dan perkhidmatan yang menawarkan koleksi gambar dan artikel berita tertua dan komprehensif Malaysia yang dimiliki dan diterbitkan oleh syarikat itu sejak edisi pertama NST pada 1845.- BERNAMA