Home Nasional Wajar buka semula inkues jika boleh rungkai punca kematian Adib

Wajar buka semula inkues jika boleh rungkai punca kematian Adib

Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Cadangan untuk membuka semula inkues siasatan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim wajat dilakukan sekiranya kerejaan berpendapat ia dapat menyelesaikan persoalan mengenai kematiannya.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, pihaknya kekal dengan pendirian mahu pelaku jenayah tersebut dihadapkan ke muka pengadilan.

Katanya, membuka semula inkues itu penting memandangkan Mahkamah Koroner sebelum ini memutuskan punca kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

“Semua masyarakat agar memberi ruang sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan ke atas kematian Muhammad Adib.

“Pihak polis dan Peguam Negara wajar diberi ruang sepenuhnya untuk melakukan siasatan dan pendakwaan sekiranya ia bertujuan untuk menyelesaikan kes kematian Muhammad Adib.

“Sebagai menghormati proses siasatan dan pendakwaan itu, CUEPACS menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat spekulasi atau andaian berdasarkan fakta yang tidak benar.

“Spekulasi atau andaian tanpa berdasarkan fakta yang tepat hanya boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta memberikan kesedihan kepada keluarga mangsa serta anggota bomba yang merupakan penjawat awam di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Adnan menyambut baik cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk membuka semula inkues siasatan berkaitan kematian anggota bomba itu jika mendapat persetujuan Peguam Negara.

Menurutnya, CUEPACS memberi sokongan sepenuhnya kepada kerajaan terutamanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang sentiasa memberi komitmen penuh bagi memastikan kematian Muhammad Adib terbela dan mengheret pihak-pihak yang terlibat ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette