Home Politik Guan Eng persoal sikap Azam Baki terhadapnya

Guan Eng persoal sikap Azam Baki terhadapnya

Li, Guan Eng. foto HAZROL ZAINAL, 10 OGOS 2020.

BUTTERWORTH – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki yang dianggap bersifat ‘peribadi’.

Seperti dilaporkan beberapa media hari ini, Setiausaha Agung DAP itu menyoal keperluan untuk Azam mencabarnya membuat laporan polis atau membawa kes itu ke mahkamah.

Cabaran tersebut berhubung kenyataan Guan Eng di laman Facebook miliknya yang menyatakan tentang beliau yang bermalam di lokap SPRM pada Khamis lalu.

Soal Guan Eng, adakah cabaran yang dikemukakan itu untuk mengalih perhatian umum kepada Ahli Parlimen pembangkang sepertinya.

“Mengapa Azam bersikap begitu ‘peribadi’ terhadap saya sehingga perlunya mencabar saya membuat laporan polis atau membawa kes itu ke mahkamah berhubung apa yang saya tulis di Facebook saya?

“Saya terpaksa memakai baju oren SPRM dan tidur lantai beralaskan lantai papan dalam sebuah lokap begitu kecil (tiada bantal atau tilam). Ini tidak sama dengan bekas Menteri Kewangan sebelum saya yang tidak perlu tinggal di lokap.

“Jadinya SPRM perlulah jawab, adakah ini ‘double standard’ atau tidak,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Guan Eng juga menganggap Azam cuba mencabar Ahli Parlimen pembangkang.

“Dalam status Facebook yang di muat naik oleh saya, saya tidak mengulas tentang perlakuan warga SPRM terhadap saya. Saya hanya menyoal mengapakah yang sebelum ini (Najib) tidak pula diberikan layanan seperti saya, pakai baju oren dan tidur lokap?

“Malah dalam kenyataan Najib pada September 2018, tidak pula Azam membetulkan mahupun membantah. Boleh jelaskan supaya kita boleh fakta dan kebenaran adakah Azam bertindak adil dan tidak berat sebelah sebenarnya,” ujarnya.

Sebelum ini, Azam mendedahkan Guan Eng bukanlah ahli politik pertama yang ditahan oleh SPRM semalaman sebelum dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

Kata Azam, keputusan menangkap seorang suspek bergantung pada budi bicara pegawai penyiasat dan diperuntukkan di bawah undang-undang.

Jelas beliau, SPRM mengambil tindakan yang sama dalam kes yang melibatkan ahli politik lain termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Semua pihak perlu menghormati sebarang tindakan yang diambil pegawai SPRM termasuk menahan Setiausaha Agung DAP itu semalaman.

“Sekiranya ada mana-mana pihak rasa tak puas hati, saya persilakan buat aduan di mana-mana atau bawa ke mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

5 Komen

Comments are closed.