KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya akan meluluskan permohonan pelaburan yang mempunyai merit dan memenuhi objektif dan matlamat pembangunan ekonomi sosial di samping menggalakkan kemajuan yang teratur untuk aktiviti pengilangan di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, selepas sesuatu permohonan pelaburan dipertimbangkan berpandukan kriteria dan garis panduan, permohonan itu akan dibentang di Mesyuarat Jawatankuasa Pelaburan Nasional yang dipengerusikan oleh MITI dan Kementerian Kewangan.
“Permohonan projek akan diperhalusi dan dipertimbangkan oleh ahli-ahli tetap yang terdiri daripada MITI, MOF, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Kementerian dan agensi lain akan dijemput mengikut keperluan sekiranya terdapat isu-isu yang berbangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Ban Hong menjawab soalan Ahli Parlimen (Kapar-PH), Abdullah Sani yang menggesa kementerian menyatakan garis panduan terhadap syarikat yang ingin membuat pelaburan di dalam dan luar negara tetapi masih terpalit dengan isu bayaran pampasan dan sebagainya. – MalaysiaGazette