Home Nasional Pak Wan tak kecewa projek kereta terbang tak jadi

Pak Wan tak kecewa projek kereta terbang tak jadi

Mohd Redzuan Md. Yusof

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof tidak kecewa apabila inisiatif ‘kereta terbang’ atau konsep super dron yang dirintisnya tidak menjadi agenda utama kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu bagaimanapun tetap memantau perkembangan inisiatif yang dilaksanakan pihak swasta itu secara peribadi.

“Tidak pernah menjadi keutamaan (inisiatif kereta terbang) kerajaan kerana masih banyak lagi agenda yang perlu diutamakan seperti membangunkan usahawan.

“Apa yang saya perjuangkan adalah perubahan minda orang tempatan mengenai teknologi terkini supaya mereka lebih peka.

“Secara dasarnya, kita mahu menjadi negara pengeluar, bukan setakat negara pengguna. Esok (nanti) apabila orang sudah (guna kereta) terbang, kita masih nak membeli dari luar?

“Itulah perubahan minda yang saya katakan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, apa yang beliau cuba sampaikan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) ketika itu menerusi inisiatif terbabit adalah merapatkan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat.

“Kita kena berani terokai apa sahaja bidang. Hari ini, industri berkenaan berkembang pesat di 26 negara malah ada yang sudah melancarkan projek terbabit dan mereka ada peranan dan undang-undang khusus bagi memastikan industri terbabit terus berkembang.

“Tujuan kita adalah supaya lebih bersedia. Sebagai contoh, kalau ada pihak dari luar nak bangunkan industri untuk merangsang usahawan tempatan, kita pastikan bahawa kita ada undang-undang supaya industri terbabit boleh berkembang dengan maju,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak kecewa sebab tak pakai duit sendiri. Harap2 duit rakyat tak terlibat. Xkira la dlm bentuk geran ka apa ka, dah pakai ganti balik jika projek tak jd

Comments are closed.