Home Ekonomi Sektor perkhidmatan suku kedua RM266.5 bilion

Sektor perkhidmatan suku kedua RM266.5 bilion

KUALA LUMPUR – Segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan telah menurun 23.7 peratus pada siku kedua kepada RM266.5 bilion dan merupakan penurunan terbesar dalam rekod sejak tahun 2013.

Ini diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan yang menyusut sebanyak 21.3 peratus kepada RM51.9 bilion dan segmen Kesihatan, Pendidikan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi juga menurun 41.7 peratus kepada RM9.6 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Segmen Profesional dan Ejen Hartanah, juga menurun 20.9 peratus kepada RM7.6 bilion.

Sementara itu, jumlah hasil bagi perbandingan suku tahun telah menunjukkan penurunan sebanyak RM102.3 bilion, 23.4 peratus kepada RM335.6 bilion.

Menurutnya, jumlah pekerja dalam sektor ini adalah seramai 3.7 juta orang, menurun sebanyak 115,400 orang atau 3.1 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.

Penurunan ini disebabkan oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan dengan penurunan sebanyak 94,817 orang atau 3.4 peratus.

Bagi perbandingan suku tahun, jumlah pekerja telah berkurang sebanyak 96,314 orang pekerja, 2.6 peratus.

“Selari dengan penurunan dalam jumlah pekerja, gaji dan upah yang dibayar adalah sebanyak RM23.5 bilion dengan penurunan 6.4 peratus berbanding tahun ke tahun, dipengaruhi oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan dengan penurunan sebanyak RM516.0 juta atau 3.5 peratus.

”Bagi perbandingan antara suku tahun, gaji dan upah jatuh sebanyak RM1,429.7 juta, 5.7 peratus,” katanya.

Prestasi Sektor Perkhidmatan pada suku tahun kedua 2020 menunjukkan kadar pertumbuhan yang paling rendah akibat penularan wabak Covid-19.

Pelaksanaan pakej ransangan dan rancangan ekonomi jangka pendek untuk mengurangkan kesan Covid-19 dijangka dapat memacu pemulihan ekonomi
negara pada suku tahunan akan datang, ujarnya. – MalaysiaGazette