Home Nasional Jangan guna kuasa tular, bahaya kepada pemberi maklumat- Mazlan

Jangan guna kuasa tular, bahaya kepada pemberi maklumat- Mazlan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2020 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan menggunakan saluran yang betul bagi menyalurkan maklumat kepada polis berhubung kegiatan perjudian haram.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, langkah menggunakan media sosial dan menularkannya akan memberikan bahaya kepada penyalur maklumat kerana segala maklumat mengenai individu berkenaan mudah untuk diperoleh.

“Kita berharap sangat jangan viralkan kerana ia membahayakan individu tersebut bila kita nak masyarakat bersama-sama memberikan maklumat kepada pihak kita, kita akan merahsiakan identiti individu berkenaan.

“Ini sudah menjadi SOP (Prosedur Operasi Standard) dan tidak asing bagi kita. Jika ada orang bagi maklumat kepada kita kita rahsiakan identiti mereka supaya nama orang berkenaan tidak terancam dan pihak kita akan terus mengambil tindakan pada mereka yang menganjurkan perjudian haram tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menemani Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar bagi merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringat Wilayah Persekutuan 2020, di Dataran Merdeka hari ini.

Mazlan menjawab pertanyaan media mengenai pendedahan video Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid berhubung aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini.

Justeru itu orang ramai khususnya warga kota digesa untuk menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Aplikasi itu katanya merupakan inovasi baharu PDRM yang bertujuan bagi memudahkan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan yang memerlukan bantuan daripada pihak polis.

“Mereka yang bagi maklumat ini identiti mereka akan kita rahsiakan jadi tidak timbul masalah apabila maklumat itu sudah viral dengan mendedahkan diri dia, polis tidak boleh buat apa.

“Orang sudah tahu siapa yang beri maklumat itu tapi kalau mereka gunakan sistem yang kami ada, dia cuma boleh WhatsApp dan bagi maklumat kedai, lokasi dan kita akan ambil tindakan dan pastikan pegawai kita buat serbuan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, pihaknya telah menubuhkan satu pasukan penyiasat khas bagi melihat semua daerah di ibu negara dan memantau kawasan-kawasan tertentu daripada aktiviti perjudian haram.

“Saya telah mengadakan mesyuarat khas berkenaan judi haram ini kita sudah tubuhkan pasukan penyiasat dengan melihat semua daerah dan tempat-tempat yang ada perjudian haram,” katanya lagi. – MalaysiaGazette