Home Nasional Kerajaan pastikan sistem rel Pantai Timur setanding Pantai Barat

Kerajaan pastikan sistem rel Pantai Timur setanding Pantai Barat

ECRL

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap berusaha memastikan sistem hubungan rel di Pantai Timur setanding di kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Disebabkan itu pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi tumpuan kerajaan ketika ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, beliau mengakui hakikat jaringan keretapi atau rel di Pantai Barat jauh lebih baik daripada Pantai Timur.

“Sebab itu, ECRL itu perlu dan dalam proses nak dimuktamadkan. Saya harap semua kerajaan termasuk Selangor dan negeri-negeri yang berkaitan sama-sama mencari satu formula.

“Ini adalah kata orang sebagai game changer untuk penduduk di pantai timur datang ke sini. Bayangkan kalau tren ECRL kita dengan kelajuan lebih 160 kilometer sejam, ia boleh sampai ke Kuala Lumpur dalam tempoh empat hingga lima jam,” katanya.

Beliau berkata demikia pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Prlimen Kulim Bandar Bharu (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang mahu kementerian menyatakan realiti jaringan rel di pantai barat lebih baik dari pantai timur dan apa impian Ka Siong dalam menambahbaik keadaan itu.

Ka Siong berkata, kerajaan membuka koridor ekonomi untuk pantai timur dengan menghubungkan tren penumpang dan kargo dari pantai barat.

“Kita memikirkan soal negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Kerajaan kita akan teruskan secara bermusyawarah dengan semua negeri.

“YB kata tadi, apa impian saya. Kita nak melengkapkan sistem jaringan keretapi dan bukan setakat itu, sebab itu saya kata ECRL connection mesti tak boleh buat secara silo. Ia kena dihubungkan kepada sistem pengangkutan awam yang ada,” ujarnya.

Ka Siong bertegas kerajaan komited menjayakan agenda negara sekaligus menjamin kemajuan di pantai timur tidak ketinggalan termasuk sistem jaringan pengangkutan awam seperti hubungan rel. – MalaysiaGazette