Home Nasional Pembangkang patut sokong tubuh RCI – Azeez

Pembangkang patut sokong tubuh RCI – Azeez

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. foto MOHD ADZLAN, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk pembangkang patut menyokong cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu Lembaga Tabung Haji (TH).

Malah, isu itu tidak wajar untuk dijadikan modal politik agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, tegas Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN).

Beliau berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat namun, RCI itu mampu menentukan kebenaran tentang apa yang sebenarnya berlaku.

“Niat kita tak mahu bawa ke kancah politik walaupun berbeza pendapat, biarlah RCI itu menentukan dan biar rakyat tahu hasil melalui siasatan diraja itu, tak perlulah berbahas, saya boleh kelirukan rakyat, Yang Berhormat pun serupa.

“Biarlah jalan yang diambil oleh kerajaan dan menteri, tunggu kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini akan buat RCI.

“Sebenarnya Kulim dalam manifesto Yang Berhormat nak buat RCI TH 22 bulan memerintah tapi tidak dibuat juga RCI itu. Insya-Allah mereka merungkai siapa dan apa yang berlaku,” katanya.

Azeez mencelah ketika Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH) membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran pembayaran RM10 juta kepada juruaudit swasta ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu sedangkan TH seharusnya diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Abdul Azeez membantah dakwaan Saifuddin yang menuduh kerajaan terdahulu tidak mempedulikan teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang menggunakan duit pendeposit untuk bayaran hibah.

“Untuk makluman, pada 2015 BNM telah beri teguran, saya dan menteri ketika itu menyimpan RM360 juta dalam keuntungan dan saya ada bukti dari BNM dan kami telah balas dan perakui walaupun TH bukan di bawah seliaan BNM.

“Ini surat BNM yang telah diberikan, untuk makluman Yang Berhormat Kulim, betul ada defisit tetapi tak lepaskan lagi tapi keuntungan dibayar dari deposit malah, simpanan itu tidak tepat seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat,” tegasnya. – MalaysiaGazette