Home Nasional Polis buat laporan terhadap pengadu timbulkan ketakutan ramai – Shahul

Polis buat laporan terhadap pengadu timbulkan ketakutan ramai – Shahul

Shahul Hamid

KUALA LUMPUR – Tindakan polis membuat laporan polis terhadap peniaga burger yang mendedahkan kegiatan perjudian dan di tempat tinggalnya menimbulkan rasa takut dalam kalangan rakyat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa pada masa akan datang.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, selama ini orang awam dan media ditohmah menimbulkan kebimbangan dan kegentaran awam terutamanya menerusi media sosial tetapi dalam kes Asri Janggut – ia membuktikan sebaliknya.

Beliau mendakwa dalam kes itu, polis sendiri telah menimbulkan kebimbangan, ketakutan, kegelisahan, ketidaktenteraman dan kegentaran awam.

“Implikasinya orang awam dan rakyat biasa takut untuk melaporkan apa-apa perlakuan jenayah kerana pelapor pula yang dianggap dan dituduh sebagai penjenayah.

“Adakah ini yang dikehendaki kerajaan sebab selama ini menggunakan motto polis dan rakyat berpisah tiada tetapi rakyat semakin takut kepada polis dan semakin menjauhkan diri daripada polis,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Shahul Hamid memberitahu, sebelum ini ada kes wartawan yang memberi ingatan dan amaran mengenai bahaya Covid-19 pun ditangkap polis, dilokap, dijamin dan dibicarakan atas tuduhan melakukan kesalahan jenayah menimbulkan kebimbangan dan kegentaran awam.

“Sedangkan apa yang wartawan itu lakukan adalah untuk mengurangkan dan meredakan kebimbangan dan kegentaran awam yang telah sedia ada.

“Analoginya, orang sakit kita hendak ubatkan tetapi kita pula yang didakwa menyebabkan orang itu sakit.

“Malah seorang pakar pernah berkongsi pengalaman mendedahkan isu rasuah dalam penyeludupan warga asing pelarian Rohingya tetapi dipanggil polis beri keterangan turut membuktikan orang yang melaporkan menjadi orang yang disiasat.

“Orang awam dikelirukan dengan bermain kata-kata sahaja, persepsinya sekarang sesiapa yang membuat aduan dia pula jadi suspek jenayah dan disoalsiasat polis sebab itu polis membuat laporan polis terhadap pengadu supaya polis boleh siasat pengadu sepatutnya polis meminta maklumat dari pengadu iaitu pengadu sebagai pemberi maklumat bukan sebagai suspek jenayah.

“Selagi stigma ini dimainkan polis selagi itu rakyat semakin jauh semakin tidak menyukai polis,” dakwanya.

Beliau bagaimanapun bukan mempertikaikan kredibiliti polis tetapi ingin bertanya bagaimana benda yang di dalam balai polis dan sepatutnya dirahsiakan boleh bocor keluar sampai ke tauke judi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ….ketua polis caw sg buluh….
    Anda bertindak mengikut perasaan.
    Tindakan anda menambahkan lagi persepsi kurang baik terhadap cawangan anda!!

Comments are closed.