KUCHING – Sarawak berdepan kemungkinan tinggi dilanda cuaca berjerebu berikutan peningkatan bilangan titik panas yang ketara di selatan dan barat wilayah Kalimantan di Indonesia yang bakal membawa jerebu rentas sempadan selain jerebu setempat akibat kebakaran terbuka.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, arah angin dari barat daya dijangka dominan untuk tempoh beberapa hari akan datang yang turut mempengaruhi kualiti udara di bahagian Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong.
“Negara kini berada dalam fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berlanjutan sehingga September atau awal Oktober, dan cuaca semasa musim ini lazimnya akan lebih kering dengan jumlah hujan sedikit berbanding buan-bulan yang lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu berkata, JPBN Sarawak telah mengarahkan semua jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat bahagian dan daerah di negeri tersebut untuk mengaktifkan pemantauan mereka terhadap titik panas menerusi kerjasama agensi yang berkenaan serta bertindak pantas jika berlaku kebakaran.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) pada 8 Ogos, terdapat peningkatan bilangan titik panas yang ketara di selatan dan barat Kalimantan (dan) pada hari yang sama, mengesan sebanyak 37 titik panas di Sarawak,” katanya. – Bernama