Home Nasional Isu peniaga Sungai Buloh, Selangor beri jaminan sebulan selesai masalah

Isu peniaga Sungai Buloh, Selangor beri jaminan sebulan selesai masalah

ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman melihat upacara tandatangan simbolik sokongan penganjuran Selangor XTIV Virtual Youth Busking yang ditanda tangani oleh artis terkenal seperti Ella (duduk tiga dari kiri), Elyana (duduk dua dari kanan), Afieq (duduk kiri), Iqbal M (duduk dua dari kiri) dan The Uncle (kanan) ketika di Program Selangor XTIV Virtual Youth Busking di Bangunan SUK, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberi jaminan untuk membantu peniaga dan penjaja menyelesaikan masalah pemilikan lesen dan premis perniagaan yang tidak menepati spesifikasi di Sungai Buloh dalam tempoh satu bulan akan datang.

Menurut Exco Selangor, Mohd Khairuddin Othman, bagi tujuan itu, pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menjalankan proses pemutihan kepada mana-mana peniaga yang masih tiada permit dan struktur perniagaan yang haram.

“Insya-Allah dalam tempoh sebulan MBSA akan bantu (peniaga) dengan syarat peniaga kena bantu kita juga dengan dokumen-dokumen.

“Dalam mesyuarat Exco pada hari ini, kita telah membuat keputusan supaya MBSA membantu peniaga-peniaga untuk kita putihkan kesalahan-kesalahan yang ada dalam tempat niaga kita.

“Saya sebut bahawa kesalahan seorang (peniaga) tidak boleh hukum kesemua mereka (peniaga) dan kerajaan masih lagi mendokong peniaga-peniaga ini.

“Insya-Allah kita akan bertemu dengan peniaga-peniaga, MBSA pun telah menyatakan kesediaannya untuk kita putihkan balik masalah-masalah yang ada di Sungai Buloh itu,” katanya pada sidang media, di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman bercakap di sidang media selepas Program Selangor XTIV Virtual Youth Busking di Bangunan SUK, Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2020.

Sebelum ini video berdurasi 13 minit 28 saat dan lapan minit 29 saat yang dibuat secara langsung oleh pentadbir akaun Facebook Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, mendakwa premis perniagaan diusahakan warga Aceh ‘kebal’ kerana tidak dikenakan tindakan atas kesalahan menjual rokok seludup di Sungai Buloh.

Selain itu, video yang dirakam Mohd Asri, 42, atau lebih dikenali sebagai Asri Janggut menerusi tinjauan semasa menaiki kereta itu juga mendakwa pihak berkuasa menutup mata kerana ada yang menerima habuan daripada ‘tauke’ kedai mesin judi.

Sementara itu, pihaknya bertegas dengan isu rasuah, dan masih berpegang kepada prinsip tidak ada salah sehingga terbukti salah kerana tahanan reman ke atas empat anggota penguatkuasa MBSA masih di peringkat siasatan.

“Saya percaya MBSA mempunyai integriti yang baik dan kita buka kepada sesiapa sahaja untuk menyiasat.

“Tetapi isu judi haram, isu arak, kita tak kompromi dan isu warga asing. Ada beberapa isu, satu isu tiada lesen, satu lagi isu struktur yang tidak mematuhi peraturan,” katanya lagi.

Bagi menangani masalah peniaga tidak mematuhi undang-undang di Sungai Buloh, pihaknya akan mewujudkan Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) di kawasan bermasalah itu bagi membantu peniaga yang terlibat.

“Kita akan bawa kaunter bergerak OSCC, buka permohonan kepada mereka yang ada masalah dengan premis ini, saya fikir MBSA akan membantu.

“Cuma bila perkara ini tidak terkawal, jadi semua orang terkena, peniaga yang memenuhi syarat pun menjadi mangsa kepada keadaan.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras mengakui masalah premis perjudian haram sudah lama berlarutan dan pergerakan sindiket judi ini sukar dikawal sebelum ini.

“Laporan yang saya terima sebelum ini ialah semua tempat-tempat yang sebut itu telah diambil tindakan oleh MBSA, pernah ambil tindakan sebab laporan itu diterima oleh saya sendiri.

“Tapi kita tak tahu pergerakan sindiket-sindiket ini, maknanya kita perlu bekerjasama dari segi penguatkuasaan kena lebih kerap lagi di kawasan itu,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan penduduk di Sungai Buloh akan terus diberi peluang dan bantuan untuk berniaga selagi mana mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh MBSA.

“Kita tidak akan menyekat peluang mereka berniaga, tapi kita harapkan mereka dapat bekerjasama dengan kita untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Syarat sedia ada tak ketat, syarat itu mudah saja kalau nak ikut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette