KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan projek perumahan generasi kedua FELDA meskipun perlu menyalurkan subsidi yang besar dalam kekangan kewangan sekarang.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila memberitahu, antara isu lain yang menyelubungi projek itu adalah model pembinaan rumah yang tidak lestari.
Katanya, ia boleh dilihat apabila projek yang bermula pada tahun 2013 dengan menyasarkan pembinaan 20,000 unit, tidak sampai 3,000 rumah siap sepenuhnya.
“Sedia maklum tahun 2013 kita umumkan 20,000 unit rumah generasi kedua ini dengan jumlah RM1.5 bilion tetapi cuma 8,314 unit dan 38 tapak.
“Isu utama modulnya tidak lestari, kos RM198,000 dijual pada RM90,000 jadi bagi setiap rumah kerajaan tanggung subsidi sebanyak RM100,000.
“Antara sebab tak lancar kerana libatkan susidi besar. Ada dua sumber subsidi iaitu kerajaan pusat dan FELDA.
“Jadi, itu adalah secara umumnya yang dah siap 2,058 sahaja daripada 8,314 dengan 10 tapak dan lagi 18 tapak kurang 70 peratus dan RM250 juta ringgit diperlukan dalam Kertas Putih,” katanya.
“Sebab projek ini tidak dapat take off (bergerak) dengan lancar kerana subsidi yang besar. Subsidi ini datang dari dua sumber iaitu kerajaan dan FELDA. Kita sedia maklum FELDA menghadapi beberapa cabaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Mustapa turut memberitahu, pasukan petugas khas FELDA hampir menyiapkan laporannya dan akan dimuktamadkan dalam tempoh dua bulan lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Dana lebih RM180 juta perlu bagi bina rumah generasi kedua FELDA