Home Dunia Sekolah menunggang kuda dijadikan makmal terbesar kokain

Sekolah menunggang kuda dijadikan makmal terbesar kokain

Bekas sekolah menunggang kuda yang dijadikan makmal memproses kokain di Nijeveen, utara Belanda.

AMSTERDAM – Polis menyerbu sebuah bekas sekolah menunggang kuda yang dikesan menjadi makmal terbesar untuk memproses kokain.

Operasi itu dikesan selepas polis melakukan serbuan di tapak tersebut yang terletak di luar bandar utara Belanda.

Seramai 17 orang ditahan.

“Ini merupakan makmal kokain terbesar yang pernah ditemui di Belanda,” kata ketua polis, Andre van Rijn.

Katanya, makmal itu boleh menghasilkan 150 hingga 200 kilogram kokain sehari dengan nilai AS$5.3 juta.

Unjuran itu berdasarkan jumlah pekerja di sini, saiz, pemasangan, ukuran, susun atur dan peralatan yang terdapat di dalam kandang kuda yang telah diubahsuai di Nijeveen.

Dalam serbuan itu, polis turut menemui puluhan ribu liter kimia, selain 100 kilogram kokain di kandang kuda.

Mereka juga menemui 120 tan dari apa yang mereka sifatkan sebagai “bahan pembawa” di pusat bandar Apeldoorn, yang digambarkan sebagai pakaian yang boleh dicantumkan dengan kokain.

Kokain ini kemudian dikeluarkan dalam bentuk kimia diproses sebaik sahaja berada di tempat tujuannya.

Polis telah menahan 16 orang suspek di lokasi berkenaan, yang salah seorangnya adalah pemilik premis berkenaan.

Manakala suspek ke-17 ditangkap di Apeldoorn.

Majoriti suspek adalah pemegang pasport Colombia.

Mereka dijadualkan hadir di hadapan hakim pada hari Rabu dan Khamis minggu ini. – MalaysiaGazette