Home Nasional Jangan hapus Akta Hasutan, tapi perkukuhkan – Nazri Aziz

Jangan hapus Akta Hasutan, tapi perkukuhkan – Nazri Aziz

Mohamed Nazri Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen kerajaan menggesa agar Perikatan Nasional (PN) memperkukuh Akta Hasutan 1948 dan bukan memansuhkannya.

Bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kerajaan harus melakukan kajian untuk memperkukuhkan lagi undang-undang itu sesuai dengan peredaran zaman dan situasi semasa bukannya dihapuskan.

“Rakyat Malaysia ada yang bimbang Akta Hasutan ini tak boleh takut salah guna tapi bak kata pepatah marah pada nyamuk jangan kita bakar kelambu. Kalau kita pertikai adalah salah guna manusia bukannya pada akta.

“Siapa dalam Dewan Rakyat tahu guna akta masalahnya itu punca membolehkan seseorang pemimpin guna akta itu untuk kepentingan diri.

“Orang itu patut dibuang menjadi pemimpin dan bukannya akta,” katanya ketika membahas usul Rang Undang-Undang Pebekalan (penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2020.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, kajian perlu dilakukan semula sesuai dengan sebuah negara majmuk di samping akta itu memang relevan bagi menjaga keselamatan negara ini yang berlatarbelakangkan kehidupan berbilang kaum, agama dan adat resam masyarakat.

“Akta ini sudah lama kerana mula wujud tahun 1948. Saya ingin nyatakan bahawa Akta Hasutan ini haruslah dimodenkan bersesuaian dengan tahun 2020 dengan mengambil pelbagai sudut dengan keadaan sekarang,” katanya.

Katanya lagi, Akta Hasutan penting bagi menentukan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan sesuatu masyarakat dalam sesebuah negara terpelihara.

Beliau juga bimbang, sekiranya dimansuhkan, ia akan memberikan kesan yang tidak baik kepada negara.

“Tidak ada undang-undang 100 peratus berkesan yang pasti ada sedikit untung, mesti ada sedikit rugi, kalau terus buang Akta Hasutan ini akan rugi, jangan sampai ketika nanti terperangkap dengan keadaan tidak baik baru kita nak cari (Akta) apa kita nak buat,

“Jangan buang, timbang (fikirkan) dahulu kerana Malaysia ini unik di dalam dunia ini satu-satunya negara yang pelbagai kaum boleh hidup dengan pelbagai pantang larang. Sebab itu jangan dilihat daripada kaca mata negara barat tetapi tengok dari uniknya negara kita yang rakyat biasa ini perlu diberikan perlindungan.

“Sebagai contoh, tak perlu buat jahat apapun orang Melayu Islam sensitif dengan daging babi sebagai contoh, kalau di negara UK kalau ada wakil rakyat di khalayak ramai orang Islam ambil daging babi gigit makan depan-depan tak jadi apa-apa, tapi (di Malaysia) cuba buat ambil daging babi di khalayak ramai depan orang Islam, ambil babi gigit makan itu menyebakan orang Islam marah.

“Begitu juga kita menghormati masyarakat hindu, pada negara lain kalau kita sembelih lembu tepi jalan tidak ada masalah, mereka kata ini lembu-lembu aku mereka kata, tapi (di Malaysia) kalau kamu pergi ambil lembu sembelih (dengan sengaja depan kuil) itu tidak boleh,” katanya lagi.

Untuk rekod, kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini bercadang memansuhkan Akta Hasutan 1948. – MalaysiaGazette