Home Ekonomi Jawatan kosong di sektor swasta berkurangan

Jawatan kosong di sektor swasta berkurangan

KUALA LUMPUR – Jawatan di sektor swasta berkurangan daripada 8.6 juta kepada 8.4 juta pada suku kedua 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pengisian jawatan turun 0.1 mata peratus berbanding suku terdahulu kepada 98.0 peratus, menjadikan jumlah jawatan diisi sebanyak 8.2 juta.

Sementara itu, peluang pekerjaan yang ditunjukkan oleh kekosongan jawatan adalah sejumlah 170,000, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Menurutnya, kebanyakan aktiviti ekonomi tertangguh pada bulan April dan diberi kelonggaran beroperasi secara beransur-ansur sepanjang bulan Mei dan Jun namun perniagaan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

Di samping itu, pergerakan penduduk yang terhad berikutan larangan pergerakan antara negeri telah memberi kesan kepada hasil perniagaan menyebabkan permintaan buruh berkurangan oleh industri yang mana dapat dilihat melalui bilangan kekosongan jawatan yang lebih rendah berbanding setahun yang lalu.”

”Kadar kekosongan turun 0.5 mata peratus tahun ke tahun kepada 2.0 peratus. Namun, jika dibandingkan dengan suku sebelum ini, kadar kekosongan meningkat secara marginal sebanyak 0.1 mata peratus.

”Lebih separuh daripada kekosongan adalah jawatan separuh mahir, manakala kekosongan jawatan mahir mewakili 23.1 peratus,” katanya.

Mengikut aktiviti ekonomi, 55.1 peratus daripada kekosongan jawatan adalah dalam sektor pembuatan, terutamanya dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal, produk getah dan plastik, produk kimia dan farmaseutikal serta produk makanan.

Bagi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 17.3 peratus, sebahagian besar kekosongan adalah dalam industri perdagangan borong dan runcit, pengangkutan darat, penggudangan dan aktiviti sokongan untuk pengangkutan, makanan dan minuman, serta industri kewangan dan insurans.

Selain itu, bilangan kekosongan yang signifikan dilihat dalam sektor pertanian, terutamanya dalam pengeluaran tanaman dan ternakan termasuk kelapa sawit.

Katanya, walaupun permintaan buruh adalah lebih rendah, sebanyak 12,000 pewujudan jawatan direkodkan pada suku ini, yang mana ianya kurang separuh daripada purata pewujudan jawatan suku tahunan pada tahun lepas.

Mengikut kategori kemahiran, pewujudan jawatan kebanyakannya adalah separuh mahir. – MalaysiaGazette