KUALA LUMPUR – Tan Sri Abdul Hamid Bador akan bertemu Indira Gandhi berhubung soal anak perempuan bongsunya yang didakwa dilarikan bekas suaminya, Mohammad Riduan Abdullah.
Bagamanapun Ketua Polis Negara (KPN) itu mahu pertemuan secara peribadi itu diadakan tanpa penglibatan atau campur tangan pihak ketiga dalam soal yang telah berlarutan lebih sedekad.
“Saya mengalu-alukannya (Indira), pintu pejabat saya sentiasa dibuka untuk dia tapi saya nak jumpa dia berseorangan secara peribadi supaya perbualan berkenaan melibatkan kami berdua sahaja.
“Saya tidak mahu pihak ketiga berada di situ (sesi pertemuan kami) sebab ini hal ehwal peribadi Indira dan sudah menjadi kes polis maka biar saya jumpa dia secara peribadi dan bercakap dengannya.
“Saya tidak mahu ia dipolitikkkan kerana akan merumitkan lagi usaha polis yang cuba sedaya upaya mencari penyelesaian menemukannya dengan anak perempuannya yang kini bersama suaminya,” katanya pada sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Maktab Polis DiRaja Malaysia di Cheras, di sini hari ini.
Diminta mengesahkan lokasi terkini bekas suami Indira yang sering melkarikan diri dari satu negara ke negara lain, Abdul Hamid berkata usaha mengesan dan menjejaki individu itu sedang diperhebatkan termasuk memujuknya pulang bersama anaknya.
“Perkataan convince him adalah bermakna kita mampu mengesan dan memujuk untuk bawa pulang bagi menyelesaikan masalah demi kebaikan semua.
“Sejauh mana dan ke mana dia boleh pergi bersembunyi, mungkin Filipina, Thailand, India dan Pakistan, saya rasa pegawai saya berada dalam komunikasi dengan bantuan pihak ketiga untuk memujuk dia,” ujar beliau.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, kes berkenaan tidak pernah keluar dari radar pemantauan dan siastan beliau sendiri.
Katanya, beliau akan mendapatkan seorang pegawai polis wanita paling kanan dalam PDRM untuk bertemu Indira bukan untuk menenangkannya tetapi untuk memberi jaminan kepada beliau bahawa pasukannya sedang bekerja keras dalam kes tersebut.
Menurut Abdul Hamid, perancangan untuk mengendalikan kes tersebut pernah dijelaskan kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Bagaimanapun, Abdul Hamid kesal kes berkenaan telah dipolitikkan oleh pihak tertentu dan tidak mahu keadaan bertambah keruh sehingga menyukarkan siasatan polis.
“Pegawai saya perlu bergerak serius untuk memastikan bekas suami memahami bahawa penyelesaian ini penting demi kebaikan anak itu yang masih belum ditemukan dengan ibunya di sini dan akur dengan arahan mahkamah sementara penyelesaian drastik memanfaatkan kedua-dua pihak.
“Saya tahu dia berada di mana sekarang. Itu sebabnya saya kata kami akan berusaha gigih memujuk dia berlandaskan undang-undang dan dia tidak perlu takut atau bimbang namun dia tidak boleh terus bersikap mementingkan diri sendiri, perlu fikirkan masa depan anak itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette