KUALA LUMPUR – Titijaya Resources Sdn Bhd telah menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Pengedaran dengan Rubberex Corporation (M) Berhad (Rubberex) untuk penjualan sarung tangan ke pasaran China melalui Sinopharm Medical Equipment QuanZhou Co. Ltd, (Sinopharm).
Rubberex, sebuah syarikat tersenarai Bursa Malaysia dengan permodalan pasaran sekitar RM1.4 bilion, terlibat dalam perniagaan pembuatan sarung tangan isi rumah dan industri serta sarung tangan pakai buang.
Hampir 95% produk Rubberex dieksport ke lebih 100 negara, dengan pasaran utamanya adalah Eropah, Amerika Utara dan Asia.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, dengan perjanjian itu, Titijaya dan Rubberex juga akan bekerjasama mengedar, mengimport dan menjual peralatan perlindungan diri ( PPE) dan produk perubatan daripada Sinopharm dan syarikat, badan atau entiti lain yang dipersetujui..
Sinopharm adalah sebahagian daripada China National Pharmaceutical Group Corporation (CNPGC), sebuah kumpulan penjagaan kesihatan milik China yang memiliki lebih dari 1,100 anak syarikat dan enam syarikat tersenarai yang merangkumi penyelidikan dan pembangunan, pembuatan, logistik dan pengedaran, runcit rantai, perkhidmatan kesihatan, kejuruteraan, pameran dan persidangan, perniagaan antarabangsa dan perkhidmatan kewangan.
CNPGC berada di kedudukan ke-169 dalam Fortune Global 500 dan pendapatannya pada tahun 2018 berjumlah hampir 400 bilion yuan.
Pengarah Urusan Rubberex, Khoo Chin Leng berkata, dengan jumlah rakyat China yang padat di dunia, sekitar 1.4 bilion pada tahun lalu, pastinya penggunaan sarung tangan meningkat dengan ketara, lebih-lebih lagi ketika berlakunya wabak koronavirus.
Melangkah ke hadapan, Rubberex berhasrat untuk menjadi pemain penting dalam segmen sarung tangan pakai buang nitril, tambahnya. – MalaysiaGazette