KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum menerima sebarang data penyelidikan berhubung penemuan vaksin Covid-19 oleh Rusia yang diberi nama Sputnik V.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, terlalu banyak persolan yang timbul berhubung vaksin berkenaan namun tiada jawapan.
Ini kerana tiada terbitan data penyelidikan ditemui setakat ini.
Jelasnya, KKM hanya boleh membuat syor kepada kerajaan selepas membuat pernilaian mendalam terhadap data-data penyelidikan vaksin tersebut.
“Setakat ini kita hanya tengok di berita-berita mengatakan vaksin ini telah didaftarkan tetapi tiada bukti saintifik ditemui.
“Apa yang penting adalah kita perlu tengok kepada keberkesanan dan kesan sampingan vaksin tersebut.
“Data-data klinikal fasa ketiga perlu dijalankan dan kita tidak pasti sama ada ianya dijalankan atau tidak.
“Kalau dijalankan, kita perlu tengok data-data tersebut sebelum membuat syor,” katanya semasa sidang media hari ini.
Selasa lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan negara tersebut telah mendaftarkan vaksin Covid-19 pertama di dunia.- MalaysiaGazette