KUALA LUMPUR – Seramai 2,765 petugas akan terlibat dalam mengurus pemilihan Armada dan Srikandi, termasuk pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi, semasa Persidangan Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dijadualkan pada 22 Ogos.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Tan Sri Syed Hamid Albar berkata pihaknya juga telah bersiap sedia untuk pemilihan Armada Bahagian esok dan Srikandi Bahagian yang berlangsung pada Ahad.
“Peralatan dan logistik telah dihantar kepada petugas-petugas di peringkat negeri dan bahagian,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemilihan itu membabitkan sejumlah 117 calon bagi jawatan dalam Armada, 85 calon bagi Srikandi dan 187 bagi Majlis Pimpinan Tertinggi.
Jawatan itu antaranya melibatkan naib presiden, pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua sayap, naib ketua sayap dan ahli jawatankuasa.- BERNAMA