SANDAKAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong menafikan dakwaan di media sosial bahawa beliau telah muflis dan menegaskan akan mempertahankan kerusinya jika dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, wakil rakyat dari DAP itu berkata pemilik akaun Facebook yang dikenali sebagai ‘Hadi Awang’ cuba merosakkan reputasinya melalui catatan di platform media sosial pada 2 Ogos lalu dengan mendakwa dirinya muflis dan menyeru pengundi tidak mempercayainya.
“Saya tidak tahu siapa orang ini tetapi percaya ini adalah kerja bukan penyokong saya yang cuba mempengaruhi keyakinan pengundi terhadap saya.
“Saya harap pemilik Facebook ini akan menarik balik hantarannya supaya masyarakat tidak keliru dengan dakwaan palsu itu,” katanya.
Chong, yang menjadi wakili rakyat kali pertama semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, berkata kepimpinan parti itu sedar dengan perkara itu dan berpuas hati dengan dakwaan tidak berasas itu.
Sementara itu, peguamnya, Rowiena Rasid percaya dakwaan itu berdasarkan pertikaian komersial dalam urusan perniagaan sebelum Chong menjadi wakil rakyat dan isu itu telah diselesaikan secara baik pada 22 Jun lalu.
“Anak guam saya jelas ‘bersih’. Tidak pernah ada masalah kebankrapan. Kami akan membuat laporan polis terhadap pemilik Facebook itu kerana menfitnah anak guam saya,” katanya.- BERNAMA