KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) menyemak semula ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun ini antara -3.5% hingga -5.5%.
Semakan ini diselaras dengan perubahan dalam ramalan pertumbuhan dunia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlarutan.
Sebelum ini, BNM mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara -2% dan 0.5% untuk tahun ini.
Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, wabak koronavirus memberi kesan buruk “lebih besar daripada yang dijangkakan” dalam aktiviti ekonomi pada separuh pertama tahun ini dan pemulihan itu dijangka beransur-ansur berbanding ramalan sebelumnya.
“Pada suku kedua, kebanyakan negara di dunia melaksanakan sekatan pergerakan. Memandangkan tahap sekatan pergerakan yang teruk, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula ramalan pertumbuhan globalnya dari -3% pada bulan April kepada sekitar -4.9% pada bulan Jun 2020.
“Kedua, andaian kami mengenai PKP telah berubah dengan ketara. Semasa kami mengumumkan kajian ekonomi dan kewangan pada bulan April, kami menjangkakan PKP hanya selama empat minggu.
“Tetapi PKP ditambah tiga minggu lagi hingga 5 Mei,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan prestasi suku kedua 2020 di BNM di sini hari ini.
Nor Shamsiah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan sekatan mobiliti yang lebih ketat menyebabkan kesan yang lebih besar daripada yang diharapkan pada output ekonomi seperti prestasi suku kedua tahun ini.
Namun, indikator seperti Indeks Pengeluaran Industri Pembuatan (IPI) dan perbelanjaan kad kredit telah menunjukkan peningkatan yang ketara.
Nor Shamsiah berkata, penguncupan ekonomi pada suku kedua tahun ini akan mengecil dipacu oleh pemulihan secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, sebelum kembali meningkat pada tahun 2021.
BNM meramalkan pertumbuhan antara 5.5% dan 8% untuk 2021, disokong oleh peningkatan keadaan luaran dan normalisasi secara beransur-ansur dalam aktiviti ekonomi dan pasaran buruh.
Pertumbuhan juga akan terus didukung oleh projek pelaburan baru, permintaan untuk produk teknologi dan penjagaan kesihatan serta pengembangan kapasiti pengeluaran yang berkaitan komoditi.
Sementara itu, inflasi utama cenderung negatif tahun ini, tetapi masih berada dalam unjuran BNM iaitu -1.5% hingga 0.5%.
“Untuk tahun 2021, inflasi utama dijangka lebih tinggi antara 1% dan 3%, sejajar dengan purata sejarah jangka panjang yang mencerminkan jangkaan pemulihan harga minyak global dan peningkatan permintaan dalam negeri,” kata Nor Shamsiah. – MalaysiaGazette