SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berkata negara itu mengalami kerosakan terus daripada hujan lebat baru-baru ini namun kerajaannya tidak sepatutnya menerima sebarang bantuan luar berikutan risiko koronavirus, lapor media milik kerajaan.
Kim membuat kenyataan itu ketika mempengerusikan mesyuarat Parti Pekerja yang membincangkan langkah-langkah pemulihan banjir dengan memberi penekanan tentang pentingnya untuk tidak mengambil mudah usaha-usaha mengekang Covid-19, menurut Korean Central News Agency (KCNA).
“Keadaan koronavirus yang semakin teruk di seluruh dunia menyaksikan sempadan ditutup dan langkah pencegahan virus yang lebih ketat dilakukan selain tidak membenarkan sebarang apa sahaja bantuan luar berhubung kerosakan akibat banjir,” kata Kim semasa mesyuarat tersebut seperti dilapor KCNA.
Kim menekankan tentang keperluan memulihkan kawasan banjir menurut keperluan penduduk dan mengelak kerosakan daripada berlaku akibat banjir dan bencana alam lain pada masa depan dengan berkata beliau ‘tidak akan membenarkan mangsa banjir menghadapi kehilangan tempat tinggal pada sambutan Parti Pekerja yang ke-75’.
Sejumlah 39,296 hektar sawah padi musnah manakala 16,680 tan kediaman dan 630 bangunan awam rosak di seluruh negara itu, kata KCNA.
Banyak jalan, jambatan dan rel kereta api juga rosak, katanya yang dipetik agensi Yonhap.
Semasa mesyuarat itu, Korea Utara memutuskan untuk menarik balik perintah berkurung di Kaesong yang dilaksanakan selama tiga minggu bermula 24 Julai lalu selepas seorang individu dengan simtom koronavirus yang berpaling tadah ke Korea Selatan sebelum ini pulang ke negara itu. – Agensi