Home Nasional Selepas Kluster Tawar, kini timbul Kluster Muda di Kedah

Selepas Kluster Tawar, kini timbul Kluster Muda di Kedah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 03 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Dua individu dikenalpasti positif Covid-19 di daerah Kuala Muda sehingga mencetuskan  kewujudan kluster baharu iaitu Kluster Muda.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, kes pertama kluster ini (kes ke-9114) merupakan seorang anggota polis.

“Kes (kedua) yang dilaporkan pada hari ini (kes ke-9147) adalah merupakan rakan kerja kepada kes indeks,” kata Noor Hisham.

Oleh yang demikian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan aktiviti pengesanan saringan kontak rapat pada 13 Ogos dan kes dikesan positif, hari ini.

“Sehingga 14 Ogos, 124 kontak rapat beliau telah disaring. Daripada jumlah ini, dua kes dikesan positif Covid-19,” kata Noor Hisham.

Selain itu, lima didapati negatif dan 117 masih menunggu keputusan.

Kesemua kes bagi kluster ini adalah warganegara Malaysia.

Dr. Noor Hisham berkata, aktiviti pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah-langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenalpasti.

Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, 11 kes positif Covid-19 direkodkan Kluster Tawar pada hari ini.

Dr Noor Hisham berkata 10 kes direodkan di Kedah dan satu kes di Pulau Pinang (iaitu kes ke-9149).

“Kes ke-9129 daripada kluster ini yang dilaporkan semalam telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang daripada sebuah pusat perubatan swasta, namun kes ini kekal didaftarkan sebagai kes di negeri Kedah,” katanya lagi

Sehingga hari ini, seramai 261 orang telah disaring dalam Kluster Tawar.

Daripada jumlah ini, sebanyak 21 kes dikesan positif Covid-19. – MalaysiaGazette